KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendekatan tidak menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) antara Malaysia dan China disifatkan paling berjaya ketika ini apabila RM39.2 bilion iaitu 25 peratus daripada jumlah perdagangan kedua-dua negara merupakan hasil pertukaran mata wang ringgit dan renminbi.
Perdana Menteri juga mendedahkan, usaha yang sama dengan Indonesia juga menunjukkan perkembangan menggalakkan apabila pertukaran antara ringgit dan rupiah mencatatkan sebanyak RM10.7 bilion (16.7 peratus) manakala pertukaran ringgit dan mata wang baht Thailand mencatatkan RM8.2 bilion (19.6 peratus).
Katanya, jumlah pertukaran mata wang ringgit tertinggi dengan China adalah disebabkan kerjasama dan persefahaman prinsip terhadap transaksi menggunakan mata wang tempatan.
“Dedolarisasi ini saya ingat satu kejayaan yang sangat baik, kalau satu perempat atau 25 peratus nilai dagang eksport dan import Malaysia dengan China dalam ringgit dan renminbi, maknanya 25 peratus tidak bergantung langsung dan tidak terkesan sama sekali dengan keputusan Amerika Syarikat (AS).
“Kalau guna dolar AS, kenaikan faedah di negara itu akan memberi kesan negatif kepada kita, tapi, kalau kita mula kembangkan ringgit (ke negara lain) kalau pun tak dapat sampai 50 peratus, 30 ke 40 peratus dengan tiap-tiap negara, kesannya lebih kurang (dengan China),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau menyifatkan wujudnya keperluan lebih agresif menekankan dedolarisasi terhadap negara lain terutamanya negara-negara berkembang supaya tidak terlalu bergantung kepada ekonomi AS untuk lebih bebas dan merdeka daripada kebergantungan dolar AS.
“Keputusan AS tidak pedulikan sistem kewangan antarabangsa, dia tidak pedulikan persefahaman dalam apa rundingan antarabangsa, dia hanya fikirkan kepentingan memperkukuh ekonomi AS, walaupun kesan itu tidak adil bagi negara berkembang, ini dikatakan ketempangan sistem atau infrastruktur kewangan antarabangsa,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai rancangan terkini berkenaan pendekatan dedolarisasi bagi menggalakkan perdagangan antara negara lain menggunakan mata wang ringgit Malaysia dan sejauh manakah inisiatif ini disambut oleh negara-negara serantau.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui, walaupun pendekatan itu menggalakkan, masih banyak negara yang belum terbuka dan bersedia dengan dasar pertukaran mata wang tempatan.
Jelasnya, dolar AS masih merupakan kekuatan utama dalam perdagangan antarabangsa menyebabkan kebanyakan negara memilih menggunakan dolar, perjanjian mata wang tempatan peringkat ASEAN juga baru sahaja dimeterai serta kebanyakan syarikat terlibat dalam perdagangan antarabangsa menjadikan mereka sukar mengambil kira kepentingan dua negara sahaja.
“Dari segi perdagangan Malaysia paling tinggi adalah dengan Singapura iaitu 15 peratus tapi sebagai negara perdagangan, mereka tidak menunjukkan minat yang terlalu kuat untuk menggunakan wang nilai tempatan.
“Saya tidak lihat ada minat dari Jepun, Hong Kong, Korea Selatan manakala India masih mengenakan sekatan penggunaan rupee dari luar india melainkan untuk warganegara India, jadi, rundingan mungkin ambil masa. Negara tangga ke-10 pasaran eksport Malaysia adalah Vietnam dan mereka memberi arahan supaya dipercepat proses rundingan antara dua negara,” katanya.
Namun, katanya, kerajaan belum bercadang untuk meluaskan pendekatan dedolarisasi dengan negara-negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
“Ada cadangan melibatkan negara BRICS, setakat ini, paling ketara penyertaan China, tapi belum ada usaha untuk meluaskan ke Afrika dan Latin Amerika, saya percaya kejayaan ASEAN dan China menjadi tanda petunjuk memungkinkan kerana ada keuntungan bagi memperkukuh kedua-dua mata wang tempatan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut mempertimbangkan penggunaan mata wang dinar yang digunakan dengan meluas di lapan negara di Asia Barat.
“Cadangan menggunakan dinar bagi kita baik, ia satu alternatif, tidak merugikan negara, malah, memperkukuh kekuatan dalaman domestik ekonomi negara masing-masing dan negara Islam terutamanya biasa dengan kedudukan dinar malah dengan meningkatnya lebih 1 trilion dolar industri halal, negara lain lebih maklum tentang keperluan dinar.
“Tapi, usaha sejak 1990-an itu sambutan serius belum ada, perbincangan diteruskan ini antara tajuk yang kita rujuk semula dalam pertemuan ekonomi Islam yang diadakan Disember ini, walaupun dalam keadaan terbatas, umpamanya China, 25 peratus itu tinggi, kalau lima ke enam peratus dengan negara Islam itu satu permulaan baik kerana ia memberikan kekuatan tambahan daripada kebergantungan dolar AS,” katanya. -UTUSAN











