Deklarasi Ipoh pertahankan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah - Utusan Malaysia

Deklarasi Ipoh pertahankan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah

WAN Zahidi Wan Teh (tengah) menyerahkan Deklarasi Ipoh mempertahankan aliran ASWJ kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepanjang tiga hari penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun 2023 di sini sejak Selasa lalu, membawa kepada Deklarasi Ipoh yang mempertahankan aliran atau manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ).

Deklarasi itu yang dibacakan oleh Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengandungi tujuh perkara dengan yang pertama ialah ASWJ merujuk kepada umat Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah dan para sahabat baginda dalam memahami dan mengamalkan agama Islam.

Tambahnya, yang kedua ialah ASWJ adalah pegangan majoriti ulama dan umat Islam sepanjang zaman semenjak generasi para Salaf dan Khalaf sehingga kini.

“Mereka disebut sebagai Al-Jamaah, Al-Sawad Al-A’zam dan Al-Firqah Al-Najiah yang telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk umat Islam berpegang dengan nyata tatkala berlakunya perpecahan umat,” katanya.

Ketiga, ASWJ ialah golongan umat Islam yang berpegang dengan manhaj Imam Abu al-Hasan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta ahli Athar dalam bidang akidah, dan beramal dengan mazhab yang muktabar dalam bidang fiqh, serta mengikut madrasah Imam Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali di dalam bidang tasawuf.

Tambahnya yang keempat, ASWJ adalah manhaj yang mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang antara dalil naqli dan aqli serta berpegang dengan kaedah Tafwid dan Takwil bagi nas-nas mutashabihat.

Kelima katanya, ASWJ menjadi pegangan seluruh ulama muktabar daripada kalangan fuqaha, ahli hadith, ahli tafsir, ulama tasawuf, ulama lughah dan ilmu qiraat.

“Keenam, firqah-firqah bid’ah seperti Syiah, Khawarij, Mujassimah, Mushabbihah, Muktazilah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Wahhabi, Salafiah Jihadiah, Daesh, Al-Ikhwan, Hizbut Tahrir dan sebarang fahaman yang membawa kepada fenomena takfir dan keganasan terkeluar daripada ASWJ,” kata mufti.

Ketujuh katanya, ASWJ adalah jati diri umat Islam alam Melayu sejak kedatangan agama itu dan menjadi warisan sehingga kini.

“Oleh itu, ASWJ perlu difahami, dihayati, dipelihara dan dilindungi serta usaha-usaha memperkasakan ASWJ perlulah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pihaknya akan terus memperkasakan kurikulum termasuk di seluruh pusat di bawah kendaliannya serta dari segi aspek penguatkuasaan.

Beliau tidak menolak wujud gerakan yang menyesatkan dalam Perak namun keadaan itu masih terkawal dan sentiasa dipantau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya