Hanya menolak untuk bergambar jika sudah mati - Siti Khadijah Halim - Utusan Malaysia

Hanya menolak untuk bergambar jika sudah mati – Siti Khadijah Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM sesi fotografi ini berlaku, banyak cerita kurang enak yang saya dengar mengenai pelakon ini. Saya lali membaca mengenai Siti Khadijah Halim artis sombong dan sering melarikan diri daripada bertemu wartawan.

Lebih menguatkan lagi naratif itu apabila di laman Threads, netizen memetik Siti Khadijah sebagai antara artis Malaysia yang bersikap sombong tidak perlu diberikan perhatian.
Sehinggalah baru-baru ini, saya memenuhi permintaan seorang rakan promoter filem Khadam untuk mengadakan sesi wawancara dan fotoshoot bersama Datuk Remy Ishak, Aghniny Haque dan Siti Khadijah.

Agak keberatan untuk bertemu Siti Khadijah gara-gara pandangan kurang manis sebilangan besar rakan industri, tapi atas dasar profesionalisme kewartawanan, saya penuhi hasrat itu.
Ternyata sangkaan saya terhadap Siti Khadijah selama ini, meleset. Gadis yang satu masa dahulu pernah dinobatkan Juara Gadis Panca ini ternyata bukan perempuan sombong seperti yang dicanang.

Bahkan kedatangannya ke pejabat Media Mulia, tanpa ditemani pengurus atau pembantu peribadi, mengu­bah naratif yang selama ini melekat pada nama Siti Khadijah Abdul Halim.“Saya tidak seperti yang diperkatakan bahkan sombong hanya akan menolak permin­taan peminat untuk ber­gambar dengan saya apabila saya mati.

“Saya tetap melayan sesiapa sahaja yang ingin merakamkan foto dengan saya, di mana sahaja, termasuklah depan tandas dan sebagainya. Tanyalah orang sekeliling saya. Saya berani mengaku yang saya rajin santuni peminat saya.

“Jadi, agak kelakar bila ada pihak yang menganggap saya sombong. Adakah yang berkata itu sejak dulu lagi tidak sukakan saya? Atau sengaja mereka-reka naratif itu untuk mencacatkan imej saya?” katanya.

Siti Khadijah mencintai pekerjaan sebagai pelakon dan dia bersedia untuk menjadi badut yang menghiburkan masyarakat. Seumpama dia berserah diri untuk menjadi pelakon.
Namun, penyerahan itu bukan pada kecaman, fitnah, tuduhan dan cerita-cerita yang tidak benar, yang dilemparkan kepadanya.

“Ada netizen yang menyalak, menyuruh sesiapa sahaja yang bergelar pelakon atau penyanyi menghadap semua kecaman yang dilemparkan kepada mereka kerana mereka beretuju untuk menjadi orang terkenal.

“Tapi jika masyarakat memiliki empati yang tinggi, mereka akan sedar bahawasanya artis juga seorang manusia yang ada hati dan perasaan.“Klise kalau saya berkata yang saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Tapi itulah hakikatnya,” ujarnya.

BERWAJAH MELAYU ASLI

Dalam cemuhan yang diterima, ada juga perkara manis yang dibaca mengenai pelakon ini. Contohnya, apabila ada netizen yang menyifatkan Siti Khadijah antara artis yang jelita kerana berwajah kemelayuan asli.

Ditanyakan mengenai perkara tersebut, Siti Khadijah hanya tersenyum dan menghela nafas panjang sebelum memberikan pandangan.“Kecantikan itu adalah pada yang melihatnya. Bagi orang lain mungkin wajah saya ‘awam’ sahaja. Dan mungkin bagi sesetengahnya, bersetuju dengan naratif berwajah wanita Melayu terkahir itu.“Ia pendapat masing-masing. Saya tidak selesa menerima pujian keterlaluan kerana mungkin ada pihak yang tak senang duduk membacanya.

“Ia akan mencetuskan perbalahan di alam maya. Bila netizen berbalah, kelihatan seolah-olah saya pula yang mencetuskan perbalahan itu. Apa pun saya mengambil pendekatan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahajalah,” kongsinya.

Siti Khadijah dalam pada itu, tidak pernah terkesan dengan kata-kata jahat manusia dan hanya terus memberikan tumpuan kepada tanggungjawabnya menghiburkan masyarakat.

“Saya tidak mahu baca perkara yang melukakan hati, ini berlaku sejak dulu. Mulut orang kita tidak boleh tutup. Saya sekarang ini sampai ke tahap cakaplah apa sekalipun saya tidak kisah. Saya cuma mahu bekerja sahaja.

“Sekarang cakap-cakap orang ini tidak lagi memberi kesan kepada saya. Perkara ini adalah selepas saya sedar banyak lagi benda elok yang saya perlu fikirkan.

“Ramai lagi yang bermasalah. Apalah jika dibandingkan dengan masalah saya. Jadi, saya anggap, kalau itu yang membuatkan orang senang hati maka teruskan.

“Mungkin yang berkata buruk itu mempunyai masalah mereka sendiri, contoh kena dera mak ayah atau sebagainya.Tapi kalau sudah keterlaluan, saya tidak sanggup biarkan,” kongsinya.

TUNTUT PEMBELAAN

Siti Khadijah mengambil pendekatan mengunci mulut apabila menerima kecaman gara-gara cerita rekaan. Namun dia tidak boleh mengambil pendekatan sama terhadap gambar bersama pencipta kandungan, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli atau lebih dikenali sebagai Daddy Ash. Lalu Siti Khadijah mengambil pendekatan undang-undang.

“Saya cuba mencari penyunting gambar itu, sampaikan berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Namun pulang hampa kerana aduan saya ditolak. Kemudian saya membawa perkara ini kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Namun menerima respons yang tidak memberangsangkan. Tapi saya tidak akan berputus asa.

“Saya memang berhasrat untuk ambil tindakan sebab rakan-rakan pelakon lain, contoh Mira Filzah pun pernah mengalami perkara yang sama, disunting gambarnya dan dimuat naik di media sosial.

“Saya mahu mereka (pelaku) menerima pembalasan setimpal dan belajar menghormati orang lain, jangan sesekali menggunakan gambar orang untuk tujuan negatif,” ujarnya.

Siti Khadijah yang tidak mahu dikaitkan dengan Daddy Ash, mahu bawa pelaku ke muka pengadilan dan tidak dengan mudah melepaskan individu-individu berkenaan.

“Saya tidak kisah dan tidak ambil pusing sebab itu bukan saya, cuma gambar itu disunting seakan-akan saya bersama dia. Malah saya tidak pernah berjumpa Daddy Ash. Hanya terbaca tentang dia dan tidak menyokong apa yang dilakukannya. Saya rasa keterlaluan apabila dikaitkan dengannya.

“Perkara sebegini tidak boleh didiamkan. Kalau tidak kepada artis, mungkin kepada pemilik perniagaan, tenaga pengajar dan sebagainya. Ini fitnah dan amat keterlaluan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN