IPOH: Kerajaan Perak menafikan dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa sekumpulan setinggan pertanian yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, proses pengosongan tanah di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan Bharu, Chemor itu telah dilakukan mengikut saluran undang-undang.
Malah katanya, bagi menyelesaikan isu yang berlarutan lebih 11 tahun itu, kerajaan negeri melalui PKNPk telah menawarkan tapak alternatif di Changkat Kinding yang digazetkan sebagai zon pertanian.
Katanya, inisiatif tersebut turut melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
“Bagi membolehkan proses pemindahan dibuat secara tersusun, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan.
“Lawatan tapak ke Changkat Kinding juga telah diadakan pada Mei 2021 bersama setinggan pertanian yang terlibat, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka yang menerima tawaran tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah bagi menyelesaikan isu tuntutan sekumpulan setinggan pertanian berkenaan.
Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan memahami kekangan yang dihadapi mereka, kerajaan negeri melalui PKNPk sentiasa membuka pintu perundingan agar jalan penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif di Changkat Kinding dapat direalisasikan.
“Sebagai penggerak utama ekonomi negeri, adalah amat penting bagi PKNPk untuk merealisasikan projek berimpak tinggi SVTP ini dalam usaha melengkapkan perancangan memacu pembangunan industri negeri.
“Ini kerana, projek tersebut dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu,” katanya.
Dalam pada itu kenyataan itu berkata, pihaknya yakin isu setinggan pertanian itu boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang.
“Dalam hubungan ini, kami sentiasa menghargai peranan petani dalam membantu memastikan aspek ketersediaan sumber makanan sentiasa diutamakan.
“Malah, Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita disyaki ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) dikatakan dikasari pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sekumpulan petani dan beberapa ahli PSM cuba menghalang pengusiran mengikut undang-undang setinggan pertanian di Kanthan Bharu.
Dalam operasi tersebut, tiga ahli parti politik berusia 30 hingga 68 tahun dan seorang petani berusia 53 tahun ditahan semasa operasi pada pukul 2.30 petang.
Penahanan empat individu itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang memberitahu, tangkapan dilakukan selepas sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas PTG Perak menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965. – UTUSAN










