Wanita maut jamah sate beracun dihantar menantu

Wanita maut jamah sate beracun dihantar menantu

PASUKAN penyiasat menunjukkan bahan bukti yang dikumpulkan dalam siasatan kes pembunuhan seorang wanita oleh menantunya di Jawa Tengah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Angkara menyimpan dendam kerana mendakwa dirinya sering diperlekehkan, seorang lelaki di Indonesia bertindak membunuh ibu mertuanya dengan menggunakan hidangan sate ayam yang telah diletakkan racun tikus.

Suspek yang dikenali sebagai Purwadi Wahyudi, 40, ditahan pihak polis selepas didakwa memesan sate ayam pada 18 Mei lalu sebelum bertindak mencelup makanan tersebut ke dalam bahan kimia beracun dan menghantarnya menggunakan perkhidmatan kurier ke rumah mangsa.

Pihak pengesan mendedahkan suspek cuba mempamerkan muslihat untuk memerangkap adik iparnya sendiri, iaitu individu yang mula-mula menemukan mayat wanita berusia 57 tahun itu dalam keadaan mengerikan di kediamannya di Jawa Tengah pada keesokan harinya.

Jurucakap polis menyatakan ahli keluarga mangsa mula menghubungi pihak berkuasa sejurus selepas jenazah wanita itu yang hanya dikenali sebagai Aminah selamat dikebumikan, ekoran timbul rasa curiga kematian tersebut bukan disebabkan oleh faktor semula jadi.

Anak bongsu mangsa, Luriyanti Putri memberitahu pihak penyiasat, ibunya ada memaklumkan mengenai penerimaan satu bungkusan sate ayam daripada penghantar yang tidak dikenali, sehari sebelum mayatnya ditemukan. Luriyanti yang menyedari bungkusan itu bukan dihantar olehnya, sempat melarang ibunya daripada menjamah makanan berkenaan.

Misteri kematian itu semakin kuat apabila jiran mangsa turut melaporkan penemuan bangkai beberapa ekor ayam berhampiran reban milik wanita berkenaan.

Bagi mengaburi mata mangsa, Purwadi dikesan menyamar sebagai Luriyanti di sebuah aplikasi penghantaran dengan menggunakan nama serta foto anak bongsu mangsa sebagai butiran akaun.

Bagaimanapun, taktik tersebut mula terbongkar selepas pemandu kurier yang menghantar makanan itu berasa curiga kerana pelanggan yang ditemuinya adalah seorang lelaki, sedangkan profil aplikasi memaparkan identiti seorang wanita.

Malah, peniaga yang menjual sate kepada Purwadi turut mengesahkan bungkusan makanan yang dihantar kepada Aminah telah bertukar kepada pembungkusan yang berbeza daripada bentuk asal ketika ia dibeli.

Susulan laporan itu, kubur mangsa digali semula untuk proses bedah siasat dan ujian forensik kemudiannya menemukan kesan keracunan pada sebahagian besar organ utama mangsa, selain sisa bahan kimia beracun.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN