Dadah bernilai RM33.7 juta disorok dalam kontena bawang

Dadah bernilai RM33.7 juta disorok dalam kontena bawang dirampas

Mohd. Kamarudin Md. Din
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis berjaya merampas dadah seberat 512 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM33.7 juta yang disembunyikan di dalam kontena bawang diimport daripada Pakistan, kelmarin.

Kesemua dadah berkenaan dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah gudang di Cheras Prima di sini, pada pukul 12.30 tengah hari.

Difahamkan, kontena itu tiba di Pelabuhan Klang dari Pakistan pada Selasa lalu sebelum kontena terbabit dihantar ke gudang di Prima Cheras pada 10.30 malam hari sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, ketika diserbu, beberapa individu sedang memunggah keluar bungkusan bawang berisi dadah daripada sebuah kontena.

Kata beliau, susulan serbuan yang turut dilakukan di dua lokasi lain sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sehingga pukul  2.30 petang, tujuh tangkapan turut dilakukan.

“Tujuh yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka, berusia antara 21 hingga 53 tahun. 

“Siasatan mendapati lelaki warga Sri Lanka dipercayai berperanan sebagai pihak yang menyelaraskan kemasukan kontena itu ke negara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket ini dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di sekitar Lembah Klang.

Katanya, rampasan dadah membabitkan 411.1 kg dadah jenis syabu dan 100.8 kg dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM33.73 juta.

“Semakan mendapati sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan modus operandinya, menyeludup masuk bekalan dadah dari Pakistan melalui jalan laut.

“Siasatan polis mendapati sindiket memfokuskan pasaran dadah di sekitar Lembah Klang, namun, tidak menolak kemungkinan ia diseludup semula ke negara lain,” jelasnya.

Kata beliau, selain rampasan dadah, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sitaan pelbagai aset milik sindiket ini.

“Kita merampas lima kenderaan terdiri daripada dua Perodua Myvi dan masing-masing sebuah Perodua Bezza, Proton X70, Toyota Alphard dan BMW.

“Selain itu, kita turut enam barang kemas serta wang tunai RM236 dengan keseluruhan rampasan harta dianggarkan bernilai RM384,964,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya negatif dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 1 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, syabu masih menjadi pilihan pengedar dan pengguna dadah di negara ini kerana harganya yang agak murah iaitu RM60,000 sekilogram dan kokain adalah dadah mewah kerana harganya  mahal iaitu RM200,000 sekilogram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN