Cabaran mahasiswa hadapi kos sara hidup

Cabaran mahasiswa hadapi kos sara hidup

Lebih 500,000 golongan mahasiswa berhadapan kenaikan kos sara hidup yang ketara antara RM200 ke RM300 sebulan dalam sesi baru pengajian. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 500,000 golongan mahasiswa berhadapan kenaikan kos sara hidup yang ketara antara RM200 ke RM300 sebulan dalam sesi baru pengajian.

Ini melibatkan kenaikan kos makanan dari RM10 ke RM15 (makan tengah hari), kos pengangkutan RM80 ke RM100 sebulan, sewa rumah yang naik dari RM200 ke RM260 terutama di bandar-bandar besar, pembelian buku selain peralatan pembelajaran.

Untuk jimatkan kos, mereka yang menyewa rumah terpaksa masak sendiri untuk makan malam dan dikongsi bersama rakan lain.

Itu belum ditambah kos utiliti antara RM100 ke RM200 sebulan memandangkan bukan senang mendapatkan sewa rumah pada harga rendah.

Tambah menyulitkan, wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya berbaki RM300 selepas penolakan yuran pengajian pada setiap semester dalam mengeluarkan belanja harian.

Setakat 20 Februari lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih 460,000 pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah da­ripada keluarga B40, membabitkan 385,555 di IPT awam (IPTA) dan 83,503 lagi di IPT swasta (IPTS).

Pelajar IPTA di Lembah Klang, Siti Aishah Selamat, 22, berkata, selain kenaikan harga barang, isu beras di peringkat nasional juga memberi kesan kepada banyak rantaian termasuk pelajar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelajar Sarjana Muda Statistik itu berkata, isu kenaikan harga barang memberi impak kepada kenaikan harga makanan di kampus pusat pengajian walaupun mempunyai Menu Rahmah.

SITI AISHAH SELAMAT

Katanya yang juga anak yatim piatu, ia tidak dapat dielakkan kerana pengusaha kantin tidak mampu menanggung kerugian akibat kenaikan harga barang mentah seperti beras, gula dan lain-lain.

“Ini juga menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan segelintir mahasiswa terutamanya yang baru melanjutkan pelajaran di IPTA kerana memikirkan bagaimana mereka mahu menyara hidup ketika berjauhan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Siti Aishah berkata, bantuan kewangan yang diperoleh daripada adik-beradik tidak mencukupi ketika ini dan hanya bergantung kepada biasiswa yang diterima.

“Kalau ikutkan dulu, duit elaun bulanan yang keluarga bagi sudah cukup untuk tampung sebulan di sini tapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Siti Aishah berkata, biasiswa yang diterima hanya cukup untuk membayar yuran pe­ngajian dan pembayaran rumah sewa kerana dia tidak menetap di kolej kediaman universiti.

Katanya, bukan hanya harga makanan naik malah harga rumah sewa juga meningkat dari RM200 kepada RM260 dan turut membebankan mereka yang masih mempunyai niat untuk meneruskan pembelajaran dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Hal sama turut diluahkan seorang lagi pelajar, Areeza Anastasia Khairodin, 23, yang hanya mengharapkan wang pinjaman PTPTN yang berbaki RM300 selepas ditolak yuran pengajian pada setiap semester dalam mengeluarkan belanja harian.

Beliau yang menuntut di sebuah IPTA di Johor berkata, dia harus bijak mengurus dan membahagikan duit tersebut mengikut keperluan se­perti hanya makan sekali sehari dengan peruntukan RM6 untuk setiap set makanan yang dibeli.

Menurutnya, disebabkan berjauhan dari keluarga, dia juga bimbang tentang kos pe­ngangkutan sekiranya perlu keluar untuk membeli bara­ngan keperluan harian kerana lokasi kedai yang berjauhan dari kampus.

“Kadang kalau tak cukup duit, terpaksa minta dengan keluarga,” katanya.

Fairuz Hanafy Affendi, 23, yang berasal dari Sabah pula terpaksa bekerja sambilan di sebuah hotel di ibu negara untuk menampung perbelanjaan sewaktu belajar akibat kos sara hidup yang meningkat.

FAIRUZ HANAFY AFFENDI

“Saya sudah setahun tidak pulang ke kampung di Sabah kerana tiket penerbangan mahal. Saya perlu kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan ketika berjauhan dari keluarga,” katanya.

Senada dengan pendapat itu, Alia Allisya Mazlan, 23, yang menuntut di Negeri Sembilan berkata, peningkatan harga barang mempengaruhi kehidupan hariannya dan secara tidak langsung ia menambah beban keluarganya.

“Saya terpaksa mengorbankan masa yang ada untuk bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan harian sebagai seorang pelajar. Saya pula anak sulung daripada lima beradik. Mak ayah tak mampu nak tanggung semua,” katanya.

Katanya, kos pembelian buku menelan sebanyak RM70 sebuah bagi satu subjek dan kursus yang diambil pula mempunyai sekurang-kurangnya sembilan subjek pada setiap semester.

Alia Allisya mahu kerajaan memikirkan soal kebajikan pelajar dalam berdepan kos sara hidup agar tiada yang bertindak berhenti belajar kerana isu berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN