Bersama sejak dalam rahim hingga liang lahad

Bersama sejak dalam rahim hingga liang lahad

NUR Shahidah Abdull Karim (kiri) dan kembarnya, Nur Zuhaida (kanan) maut dalam kemalangan di Kampung Changkat Rambai, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di Pasir Salak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: ‘Mereka tidak pernah berpisah sejak lahir, seperti sudah ditakdirkan bersama sehingga akhir hayat. Sejak dari dalam rahim hingga ke liang lahad mereka kekal bersama’.

Demikian luahan kakak kepada dua beradik kembar yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Changkat Rambai, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di sini semalam.

Kemalangan menyebabkan Nur Zuhaida Abdull Karim dan kembarnya, Nur Shahidah masing-masing berusia 33 tahun meninggal dunia.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas kereta Perodua Kancil dinaiki dua beradik itu bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.

Kakak kepada pasangan kembar yang maut itu, Zalifah, 48,  berkata, kedua-dua adik kembarnya itu seperti sudah ditakdirkan bersama sejak dari dalam kandungan ibu mereka lagi sehinggalah meninggal dunia bersama.

Menurutnya, dua adik kembarnya itu sejak lahir sentiasa  bersama walau ke mana sahaja, tidak pernah berpisah dan mereka berdua yang menjaga emak mereka, Siti Masita Talkah, 75, di kampung di Changkat Lada, Seberang Perak di sini.

Katanya, malah kedua-duanya tidak memikirkan soal jodoh kerana tidak mahu berpisah.

“Bukan tak ada yang mahu meminang tetap kedua-duanya saling memikirkan mereka akan terpisah jika berkahwin, jika berkahwin mereka mengikut suami.

“Mereka juga selalu kata kalau salah seorang daripada mereka berkahwin, bagaimana yang seorang lagi. Mereka juga tidak memikirkan soal berkahwin kerana mahu menjaga emak di kampung.

“Kami tak sangka akhirnya mereka memang tidak berpisah sehingga akhir hayat apabila meninggal pada hari yang sama dan dikebumikan di dalam satu liang lahad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah mereka di Felcra Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah dekat sini.

Menurutnya, dua adiknya itu sama-sama bekerja di sebuah kilang di Lekir, dekat Sitiawan dan ketika kemalangan, mereka dalam perjalanan ke sebuah klinik di Tanjung Tualang untuk mendapatkan rawatan kerana seorang daripada mereka mengalami alahan.

Jelasnya, tiada sebarang perubahan ditunjukkan kedua-dua adiknya itu malah pagi sebelum kemalangan, mereka sempat berbual di telefon dan bergurau.

“Cuma mereka tak sempat berjumpa emak selepas kali terakhir berjumpa emak kira-kira sebulan lalu kerana emak baru balik menunaikan umrah dan berada di rumah saya di Banting.

“Sukar untuk kami terima pemergian mereka namun kami harus reda atas apa yang berlaku,” katanya.

Jenazah dua beradik kembar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Lada, Seberang Perak di sini selepas solat Isyak semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN