Cuaca panas catat 56 kes, dua kematian strok haba

Cuaca panas catat 56 kes, dua kematian strok haba

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara, termasuk dua kematian akibat strok haba bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, dua kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.

Menurutnya, kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.

“Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh panjang hingga menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan.

“Selain itu, pemantauan KKM bagi tempoh 1 Januari hingga 3 Mei merekodkan sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas di seluruh negara.

“Ia terdiri daripada 47 kes kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut KKM, analisa turut menunjukkan bahawa 58 peratus kes penyakit berkaitan cuaca panas adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.

“Daripada jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton.

“Manakala sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan dan operasi,” katanya. 

Dalam pada itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan semasa cuaca panas. 

Katanya, orang ramai boleh mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas, dan sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukkan badan.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk memperbanyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat serta menggunakan pelindung diri seperti topi, payung, pakaian yang ringan dan berwarna cerah.

“Golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit kronik perlu sentiasa mendapat hidrasi mencukupi, serta ibu bapa dan penjaga diingatkan untuk mengelakkan daripada meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan.

“Orang ramai juga diingatkan untuk mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau,” katanya.

KKM juga menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya, khususnya dalam merancang dan melaksanakan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.

“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN