Beli beras ikut keperluan - Mohamad Sabu - Utusan Malaysia

Beli beras ikut keperluan – Mohamad Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Orang ramai di­nasihatkan tidak melakukan pembelian panik beras putih tempatan dengan membeli beras mengikut keperluan bulanan keluarga dan tidak menyimpan stok bagi memastikan bekalan berkenaan tidak mengalami kekurangan.

Menteri Pertanian Keterja­minan Makanan, Datuk Seri Mo­hamad Sabu berkata, pihaknya mendapati masalah kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran negara susulan pembelian panik menerusi satu video yang tular kononnya bekalan beras di pasar raya telah kehabisan.

Beliau meminta setiap isi rumah membeli beras berdasarkan keperluan masing-masing.

“Kalau sebulan sekampit beli sekampit, kalau perlu dua kampit tiap­-tiap bulan beli dua kampit sebab bulan depan beli lain.

“Tetapi bila harga beras import naik melambung sampai RM37, RM40, mereka cari beras tempatan. Bila cari beras tempatan pula ada main dalam video dan sebagainya bahawa bulan depan tak ada beras.

“Jadi orang ramai pun serbu pergi beli beras yang sebelum dia guna sekampit tetapi dia beli tiga. Bila dia beli tiga dia ambil yang orang lain dua kampit. Yang dua kampit pula dia beli empat,” katanya dalam Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, di sini semalam.

Mo­hamad mengakui isu bekalan beras berlaku ekoran keputusan India yang menamatkan eksport, namun tidak menolak keadaan itu akan kembali reda dengan pelan jangka panjang dan pendek yang sedang dilakukan pihak kerajaan.

Katanya, antara usaha itu termasuk cadangan agar premis kerajaan seperti asrama sekolah, kem tentera dan hospital membeli beras import berbanding beras tempatan bagi menangani bekalan makanan itu di pasaran.

“Kita akan bincang dengan Perdana Menteri (hari ini) kalau sudah bersetuju semuanya, agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka membeli beras import.

“Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu jangka pendek,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kini berusaha ke arah tuaian hasil padi selama lima musim untuk tempoh dua tahun dan usaha ini memerlukan tempoh beberapa tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya