PETALING JAYA: Seorang banduan yang meloloskan diri pada 9 April lalu berjaya ditahan semula dalam satu operasi di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor, petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan semula dilakukan kira-kira pukul 5 petang hasil tindakan serta kerjasama pelbagai pihak.
“Sehubungan itu, polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan itu berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu media melaporkan, polis giat memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April.
Lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandangkan banduan terbabit menghadapi pertuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. – UTUSAN










