Banduan lolos dipercayai bersembunyi di hutan, tapak pembinaan

Banduan lolos dipercayai bersembunyi di hutan, tapak pembinaan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banduan kes seksual yang lolos dari Penjara Sungai Buloh dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berhampiran tapak pembinaan sepanjang dijejaki pihak berkuasa sejak 9 April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati suspek bersembunyi di tapak pembinaan pada waktu siang dan memasuki kawasan tersebut pada sebelah malam bagi mendapatkan perlindungan.

“Suspek juga memakai pakaian yang dicuri dari tapak pembinaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku meloloskan diri ketika turun dari trak polis pada 9 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan Imigresen dalam satu operasi khas di Jalan Gombak, di sini, petang semalam.

Katanya, suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang pada 18 April lalu hasil risikan selama enam hari oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen.

“Operasi turut dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Pakistan yang menyalurkan maklumat risikan bagi menjejaki lokasi persembunyian suspek.

“Pasukan operasi berjaya mengesan suspek di KM24, Batu 14, Jalan Gombak Lama sebelum menahannya.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku meloloskan diri ketika turun dari trak polis pada 9 April lalu.

Jelasnya, hasil semakan mendapati suspek tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Januari 2025 dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.

“Proses pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan turut mengesahkan suspek merupakan individu yang meloloskan diri daripada tahanan polis.

“Suspek kini ditahan di Depot Imigresen bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, polis giat memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April.

Lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandangkan banduan terbabit menghadapi pertuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN