SHAH ALAM: Polis mendakwa tahanan warga Pakistan yang lolos pada 9 April lalu kini bersendirian selepas pihak berkuasa itu menghalang proses komunikasinya dengan rakan-rakan yang lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun pihaknya yakin tahanan masih lagi berada di dalam kawasan Sungai Buloh dan skop teknikal pencarian suspek kesalahan seksual kanak-kanak itu kini diperluas.
Katanya usaha pencarian turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta agensi-agensi bantuan lain.
“Kita juga menambah kekuatan pasukan mencari dengan melibatkan beberapa agensi dan pasukan sahabat. Insya-Allah kita yakin dalam waktu terdekat akan ada hasil positif.
“Pasukan ramai melibatkan contohnya daripada PGA, PGU dan beberapa lagi unit-unit teknikal turut membantu, jadi ramai. Saya tak boleh mendedahkan secara lanjut, tetapi usaha memang sedang berjalan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Shazeli, pihaknya turut merekodkan keterangan daripada pihak terlibat termasuk Jabatan Penjara Malaysia serta tahanan yang menyaksikan kejadian tersebut.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan seorang tahanan reman berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diburu selepas meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, seorang warga Pakistan.
Selain itu, Shazeli memaklumkan polis turut membuka kertas siasatan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kecuaian dalam pengendalian tahanan terhadap pegawai dan anggota terlibat.
“Tiada penahanan dibuat, cuma mereka dihadkan tugas kepada tugas yang tidak aktif kerana siasatan masih lagi berjalan dan keterangan masih lagi dibuat untuk mengesahkan berlaku atau tidak sebarang kelemahan atau kecuaian sewaktu menjalankan tugas,” ujarnya. – UTUSAN










