Bekas jurulatih menembak dilepas, dibebaskan tuduhan sebabkan kematian   - Utusan Malaysia

Bekas jurulatih menembak dilepas, dibebaskan tuduhan sebabkan kematian  

ZAMIL Ahmad Murad (tiga dari kiri) bersama barisan peguam serta ahli keluarganya selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyebabkan kematian dengan niat di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyebabkan kematian dengan niat dalam kejadian pada 13 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Nooriah Osman membuat keputusan itu ke atas Zamil Ahmad Murad, 62, hari ini selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Peguam tertuduh, Rahmat Hazlan, berkata, seramai 21 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk anak guamnya telah dipanggil sepanjang perbicaraan sejak 7 Disember 2020 sehingga 6 Ogos lalu.

Menurutnya, mahkamah membuat keputusan melepas dan membebaskan anak guamnya selepas berpuas hati tindakan itu dibuat bertujuan mempertahankan diri apabila diserang menggunakan pisau rambo.

“Mahkamah berpuas hati dan menerima pembelaan anak guam kami bahawa tindakan itu adalah untuk mempertahankan diri apabila diserang seorang lelaki yang juga mangsa dalam kes ini.

“Mahkamah juga berpendapat bahawa keterangan saksi pakar patologi, Datuk Dr. Zahari Nor semasa pemeriksaan balas tentang kecederaan si mati konsisten dengan pembelaan tertuduh,” ujarnya.

Berdasarkan pertuduhan, Zamil yang merupakan bekas jurulatih menembak MSNT didakwa menyebabkan kematian dengan niat ke atas seorang lelaki, Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di kawasan semak di belakang sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus antara jam 4.15 petang hingga 4.30 petang pada 1 Februari 2010.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki ditembak mati selepas dipercayai cuba memecah masuk ke rumah jurulatih menembak MSNT itu melalui pintu belakang.

Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan pulang ke rumah selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk ke rumah mereka.

Zamil yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Zamil diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya