Barat tidak berlaku adil kepada Palestin

Barat tidak berlaku adil kepada Palestin

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri membidas kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman rejim zionis Israel terhadap Palestin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia menyaksikan epi­sod getir dan gelap, namun rejim Israel itu berterusan me­lakukan serangan.

“(Serangan) itu diteruskan dan disahkan atau dibiarkan oleh kuasa besar pelopor demokrasi, kebebasan, libera­lisme barat dan Amerika Syarikat. Itu sangat membingungkan,” katanya menerusi ucapan Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Anwar pada masa sama berkata, beliau tidak pernah terfikir akan muncul gelagat kelompok manusia yang sekejam itu sepanjang penglibatan dalam politik.

“Ini sangat mengesankan dan menyentuh hati nurani saya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, selepas pembentangan Be­lanjawan 2024 Jumaat lalu, pemimpin negara bersama Men­­teri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir su­dah meng­hubungi rakan se­jawatannya di dunia Islam dan serantau bagi membantu meredakan tekanan penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Semenanjung Gaza yang memusnahkan kawasan kediaman, selain menyebabkan ribuan penduduk terkorban dan cedera, dengan hampir 40 peratus daripada mangsa terdiri kanak-kanak dan wanita.

Terdahulu, Hamas melakukan serangan mengejut terhadap Israel pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada hari sambutan perayaan Yahudi sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan keganasan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Rejim Israel kemudian me­lancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza dan diperluas kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak kerana sekatan ketat Israel sejak 2007.

Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang.

Dalam perkembangan sama di Dewan Rakyat, Perdana Menteri memberi jaminan Malaysia akan menyalurkan dana lebih RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

“Saya dah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-Allah, hari Khamis sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, RM100 juta disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung kemanusiaan dan perubatan,” katanya.

Namun, katanya, Malaysia berdepan kekangan menyalurkan bantuan tersebut dengan lancar ketika beliau mengadakan perbincangan dengan beberapa negara seperti Turkiye dan Mesir.

“Israel enggan membuka sempadan mereka, jadi ada tiga pesawat Turkiye sudah sampai ke pelabuhan sempadan Gaza, tetapi sempadan Rafah di Gaza tidak dibuka. Beberapa negara lain seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengirim bantuan perubatan makanan tapi tersangkut kerana kerajaan pemerintah zalim Israel telah menghalang pembukaannya.

“Maka dimaklum kepada Mesir, sekiranya dibuka sempadan akan dibenarkan dan dipaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza menyeberang, pihak kita mahu dibuka sempadan untuk mengirim makanan dan perubatan jadi ini tidak dilakukan dan apa yang berlaku di­sekat dan dibom kemasukan di Salah al-Din,” katanya.

Anwar turut merancang bertemu dengan lebih banyak ketua-ketua negara bagi membincangkan isu Palestin.

Beliau berkata, usaha itu dimulakan dengan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung pada 18 Oktober ini di Jeddah, Arab Saudi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN