Banjir: Penternak ikan air tawar diminta ambil langkah awal elak kerugian - Utusan Malaysia

Banjir: Penternak ikan air tawar diminta ambil langkah awal elak kerugian

RUZAIDI Mamat (tiga, kanan) melihat masakan ikan patin di sebuah gerai pameran pada Program Rasa-Rasa Akuakultur Terengganu 2023 di Pasar Tani Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penternak ikan air tawar di negeri ini dinasihatkan mengambil langkah awal menghadapi musim banjir yang dijangka melanda bulan depan.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan pengusaha mengalami kerugian termasuk kemusnahan aset atau kematian ternakan.

Menurut beliau, sepanjang 2022 pihaknya merekodkan kerugian lebih RM14 juta membabitkan lebih 300 penternak ikan air tawar di seluruh negeri apabila bah melanda pada Februari dan Disember.

Ruzaidi menjelaskan, peristiwa malang itu boleh dielakkan daripada berulang tahun ini jika pengusaha bertindak sekarang dengan mengambil langkah segera menyelamatkan sangkar masing-masing.

“Pesanan saya kepada penternak industri akuakultur supaya tidak lagi memasukkan benih ikan ke dalam sistem ternakan atau sangkar mereka kerana kita sudah berada di hujung tahun.

“Mana-mana spesies ikan yang boleh dituai, tuai segera dan jika tidak boleh, penternak perlu ambil langkah melindungi aset atau berdepan kemungkinan menanggung kerugian lebih besar.

“Kita risau sangkar di kawasan sungai utama yang berisiko berlaku banjir besar seperti tahun lalu namun mereka boleh bertindak cepat dengan menambat sangkar daripada hanyut atau rosak,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Rasa-Rasa Akuakultur Terengganu 2023 di Pasar Tani Hiliran, di sini, hari ini,

Mengulas lanjut program berkenaan, Ruzaidi berkata, turut dipromosikan adalah ikan susu yang merupakan sumber protein alternatif kepada ikan siakap atau kerapu dengan kos perusahaan yang lebih rendah.

Menurut beliau, ia berikutan benih ikan susu boleh diperolehi dari dalam negara berbanding benih ikan siakap dan kerapu yang perlu diimport dari Bali, Indonesia bagi tujuan penternakan.

“Ini antara langkah dibuat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna selain mahu menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi penternakan ikan susu yang berpotensi tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya