RANTAU PANJANG: Sebuah keluarga tidak menolak kemungkinan rumah yang dihuni mereka lenyap dihanyutkan arus jika banjir kembali melanda Kampung Tersang pada November ini.
Din Abd. Rahman, 50, berkata, andaian itu berasas apabila sebahagian daripada rumahnya sudah runtuh dihanyutkan arus semasa banjir melanda kawasan tersebut sebelum ini.
Katanya, situasi itu sekali gus memberi kesan tidak baik kepada struktur keseluruhan binaan rumahnya.
“Dengan pendapatan sebagai penoreh getah dan buruh, saya tidak mampu membaik pulih sturuktur rumah yang sudah runtuh itu. Lagipun ia memerlukan modal besar.
“Sebelum ini ada beberapa pihak berjanji membantu membaik pulih bahagian rumah yang rosak, namun tiada sebarang petunjuk berkait perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Din berharap pihak berkaitan dapat menunaikan segera janji-janji tersebut memadangkan beberapa bulan sahaja lagi musim tengkujuh dijangka kembali melanda negeri ini.
Katanya, ketika ini dia dan keluarga terpaksa berhimpit dalam ruangan sempit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Sebagai usaha mengurangkan kesesakan, ada anak saya terpaksa tidur di dalam rumah rakit yang dibina semasa banjir sebelum ini,” ujarnya.
Din berkata, pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menyebabkan banjir yang melanda kawasan itu menjadi sukar untuk diramal.
Katanya, masuk sahaja bulan Oktober penduduk sudah mula membuat persiapan untuk berdepan dengan banjir. – UTUSAN










