Pelancongan Nepal rugi RM1.34 bilion akibat banjir dahsyat - Utusan Malaysia

Pelancongan Nepal rugi RM1.34 bilion akibat banjir dahsyat

BEBERAPA bangunan musnah akibat banjir dahsyat di Trishuli. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Sektor pelancongan Nepal mencatat kerugian awal lebih 50 bilion rupee (RM1.34 bilion) susulan banjir kilat Bhotekoshi yang melanda beberapa kawasan negara itu pada Rabu minggu lalu.

Menteri Kebudayaan, Pe­lancongan dan Penerbangan Awam, Khadak Raj Paudel, berkata, bencana berkenaan turut merosakkan 142 hotel, 57 restoran dan 141 kenderaan berkaitan pelancongan, selain menjejaskan tapak warisan agama dan budaya di kawasan terbabit.

Beliau berkata, kemusnahan laluan pendakian Langtang, Gosainkunda, Parbatikunda dan Nathali turut menyebabkan pihak berkuasa perlu mengenal pasti laluan alternatif bagi memastikan aktiviti pelancongan dapat dite­ruskan.

Menurutnya, kementeri­an­ juga mencadangkan bebe­rapa kawasan terjejas banjir di­ba­ngunkan sebagai tapak ‘wa­risan iklim’, termasuk pem­binaan muzium, taman, mo­numen dan sturktur lain bagi mendokumentasikan ben­cana serta kesannya.

Paudel berkata, Nepal kini berdepan kesan perubahan iklim yang serius meskipun tidak banyak menyumbang kepada masalah itu.

Beliau turut menggesa ma­syarakat antarabangsa me­nyalurkan bantuan kewangan dan teknologi moden kepada Nepal, terutama sistem amaran awal untuk mengesan banjir letusan tasik glasier serta risiko lain di rantau Himalaya.

Paudel berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan ma­syarakat antarabangsa untuk membawa masuk teknologi amaran bencana canggih yang dibangunkan di negara lain ke Nepal.

Beliau turut memuji syarikat penerbangan dan pe­ngendali helikopter Nepal atas sumbangan besar mereka dalam operasi menyelamat dan bantuan, selain mera­kamkan penghargaan kepada pengusaha hotel yang menyediakan penginapan termasuk makanan secara percuma kepada mangsa banjir di Pokhara, Chitwan, Kathmandu serta kawasan lain.

Menurutnya, kerajaan juga mula menubuhkan pusat bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dan beberapa lokasi utama lain bagi membantu pelancong yang terjejas serta keluarga mereka.

Beliau berkata, usaha pe­nyelarasan turut dilakukan bersama kementerian ber­kaitan dan misi diplomatik.

Paudel menegaskan kepen­tingan komunikasi antarabangsa yang berkesan bagi mengelakkan bencana itu menjejaskan persepsi terhadap sektor pelancongan Nepal.

“Bencana alam boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia. Ia tidak akan memusnahkan industri pelancongan. Kami masih teguh berdiri dan bersedia menerima kedatangan pelancong,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×