Banjir Nepal: 11 pegawai, anggota SMART berlepas ke Nepal

Banjir Nepal: 11 pegawai, anggota SMART berlepas ke Nepal

MEOR ISMAIL MEOR AKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan memulakan operasi selama 10 hari di Nepal hari ini dengan memberi keutamaan kepada kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, operasi itu bermula selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Nepal.

Menurut, pasukan SMART yang berlepas pada pukul 10 pagi ini menggunakan pesawat A400M Atlas milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Tempoh operasi kita selama 10 hari dan kekuatan pasukan diketuai oleh seorang komander dan 10 orang anggota.

“Mereka (SMART) terdiri daripada pelbagai kepakaran antaranya mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal,” katanya selepas melepaskan pasukan SMART untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana Nepal di sini, hari ini. 

Meor berkata, pasukan itu turut membawa pelbagai peralatan seberat 12.4 tan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Peralatan itu termasuk peralatan menyelamat dan pengesan, sistem komunikasi, dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khas bagi operasi menyelamat di terowong.

“Selain, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak dengan muatan 10 tan,” katanya.

Beliau berkata, lokasi sebenar penugasan SMART hanya akan diketahui selepas pasukan berkenaan tiba di Nepal dan menerima taklimat mengenai kawasan operasi.

“Setakat ini diberi gambaran seolah-olah kita pergi ke kawasan terowong. Saya tidak pasti tempatnya.

“Selepas tiba, mereka akan menerima taklimat daripada wakil Malaysia mengenai keadaan secara umum sebelum pihak rakan sejawat SMART di sana memberikan taklimat pengoperasian,” katanya.

Mengulas mengenai objektif misi, beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan atas dasar kemanusiaan dan pasukan SMART akan menyelamatkan mana-mana mangsa yang ditemukan tanpa mengira kewarganegaraan.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan tetap diberikan kepada usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.

“Kita dalam operasi mencari ini tidak kira siapa sahaja mangsa, kita akan selamatkan. Siapa yang kita temui, kita akan selamatkan.

“Sebab kita tidak tahu rakyat kita berada di mana. Tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kita. Itu tumpuan, tetapi tidak semestinya kita jumpa rakyat kita.

“Keutamaan kita mestilah rakyat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Kontinjen, Pg KB 1 Abdul Manaf Che Isa memaklumkan pasukan itu akan mendarat di Kathmandu dan akan diberi taklimat oleh wakil di sana sebelum bergerak ke lokasi ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×