PUTRAJAYA: Situasi jerebu yang makin buruk di beberapa negeri sejak kelmarin berpunca daripada asap tebal ekoran kebakaran hutan besar di Indonesia.
Merujuk isu Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang teruk di beberapa lokasi, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, situasi itu menyebabkan berlakunya jerebu rentas sempadan.
“Kebakaran hutan di bahagian tertentu di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan jerebu rentas sempadan beberapa kawasan pula di Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini semalam.
Kali terakhir Malaysia pernah dilanda jerebu yang teruk ialah pada 21 September 2019 dengan Kuala Lumpur sendiri mencatatkan IPU sehingga 156 pada pukul 5 petang.
Ketika itu sebanyak 2,649 buah sekolah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Sarawak ditutup apabila banyak kawasan merekodkan bacaan melebihi 150.
Malaysia pernah mengalami jerebu dahsyat dalam sejarah pada 19 September 1997, malah, diisytihar darurat apabila ada lokasi di Sarawak mencatatkan IPU melepasi 650.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, hanya tinggal tujuh stesen JAS yang merekodkan bacaan tidak sihat pada pukul 12 tengah malam kelmarin..
“Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN di Singapura semalam, ada 52 titik panas yang dikesan di Sumatera manakala 264 titik panas lagi di Kalimantan,” katanya.
Ujar beliau, tiada titik panas yang dijejak di Malaysia kerana agensi serantau itu memetik imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Kelautan Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat.
Malahan katanya, peta jerebu yang dikeluarkan oleh pusat tersebut menunjukkan situasi cuaca agak kering masih berpanjangan lagi di bahagian tengah dan selatan Sumatera.
Sementara wilayah Jambi di pulau itu berterusan melepaskan asap jerebu sederhana dan tebal yang kemudiannya ditiup angin ke arah barat laut menuju Malaysia dan Singapura.
Gugusan titik panas di bahagian selatan dan tengah Kalimantan pula jelas Wan Abdul Latiff, berterusan membebaskan asap tebal yang membawakan kesan jerebu di barat Sarawak.
“Pihak JAS telah bertindak mengaktifkan balik Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaraskan gerak kerja pelbagai agensi kerajaan,” ujarnya.
Selain itu, jabatan berkenaan sudah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka serta memantau IPU.
Semua pemilik tanah kata beliau, turut dinasihatkan agar dapat mengambil langkah dan pemantauan lebih rapi ke atas kawasan mudah atau sering terbakar di tempat mereka.
Masyarakat juga diingatkan supaya tidak membiarkan tanah mereka dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin menyebabkan kejadian pembakaran terbuka.
Pelaku jenayah alam sekitar itu kata Wan Abdul Latiff, boleh didakwa menurut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan hukuman dendanya tidak melebihi RM500,000.
“Orang awam turut boleh beri kerjasama dengan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada pihak JAS menerusi talian bebas tol yang disediakan iaitu 1-800-88-2727,” tegasnya.-UTUSAN










