KUALA LUMPUR: Pelakon Amelia Henderson yang didapati melanggar kontrak dengan A. Aida Production Sdn. Bhd., sudah menjelaskan ganti rugi nominal M10,000 kepada syarikat produksi itu, pada hari yang sama rayuannya diumumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat lalu.
Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia ketika dihubungi pihak media hari ini berkata, ganti rugi itu dijelaskan oleh anak guamnya sebelum tempoh akhir 14 hari yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Amelia sudah membayar RM10,000 itu (seperti diperintahkan) pada Jumaat lalu, ” kata peguam tersebut.
Jumaat laku, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memerintahkan selebriti itu atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, membayar ganti rugi nominal RM10,000 selepas membenarkan rayuannya terhadap ganti rugi dan pernyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Dengan keputusan itu, Amelia tidak perlu membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi tersebut selepas hakim berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan demikian.
Mahkamah membenarkan rayuannya dan berpuas hati bahawa pernyataan Amelia dalam laman Instagramnya tidak memfitnah A. Aida Production mahupun merujuk kepada syarikat produksi itu.
“Saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Selepas meneliti pernyataan Amelia secara keseluruhan, saya mendapati bahawa pandangan yang dikemukakan tidak merendahkan reputasi A. Aida Production.
“Penyataan Amelia sekadar menjelaskan bahawa skrip drama itu tidak sesuai dengan beliau selain memberi komen bahawa karektor sebagai `Aira’ akan melukakan imejnya secara keseluruhan pada mata masyarakat dan peminat,” ujar beliau ketika membacakan keputusannya.
Dalam keputusannya, Wai Hong bagaimanapun berpuas hati Amelia melanggar kontrak yang dimeterai dengan syarikat produksi itu pada 25 Januari 2022 walhal bayaran pendahuluan RM3,920 telah dibayar kepadanya.
Menurut hakim berkenaan, penggambaran sepatutnya bermula pada 16 Jun 2022, bagaimanapun sehari sebelumnya, syarikat itu dihubungi melalui WhatsApp oleh pengurus Amelia pada waktu malam bahawa pelakon itu tidak dapat melakonkan watak yang diberikan.
Tindakan pelakon itu menarik diri pada saat akhir merupakan satu pelanggaran kontrak menyebabkan A. Aida Production menghantar notis penamatan kontrak pada hari yang sama penggambaran sepatutnya berlangsung.
Berhubung rayuan terhadap jumlah ganti rugi, Wai Hong berpuas hati, dalam tempoh sehari, syarikat produksi itu berjaya mendapat pelakon gantian bagi menjayakan watak `Aira’ dan penggambaran kemudian dimulakan.
Beliau berpendapat, jumlah yang dituntut itu tidak boleh dikategorikan sebagai ganti rugi kerana pengambaran tetap berlangsung dan drama berkenaan mencecah `box-office’.
“Oleh yang demikian A. Aida Production hanya layak mendapat ganti rugi nominal RM10,000 kerana pelanggaran kontrak,” ujar beliau.-UTUSAN










