Tentera AS pintas tiga kapal Iran di perairan Asia - Utusan Malaysia

Tentera AS pintas tiga kapal Iran di perairan Asia

TENTERA LAUT AS memintas kapal Iran di perairan Asia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah memintas sekurang-kurangnya tiga kapal tangki yang berdaftar di Iran di perairan Asia dan mengarahkannya menjauhi kedudukan mereka berhampiran India, Malaysia dan Sri Lanka, menurut sumber perkapalan dan keselamatan pada Rabu.

Washington telah mengenakan sekatan laut ke atas perdagangan Iran, manakala Teheran pula menembak kapal-kapal untuk menghalang mereka melalui Selat Hormuz di pintu masuk teluk di Asia Barat. 

Hampir dua bulan selepas AS dan Israel memulakan perang ke atas Iran, tiada tanda rundingan damai akan disambung semula dalam keadaan gencatan senjata yang rapuh.

Penutupan selat itu telah mengganggu bekalan kira-kira satu perlima minyak dan gas dunia serta mencetuskan krisis tenaga global.

Pasukan AS telah merampas sebuah kapal kargo Iran dan sebuah kapal tangki minyak dalam beberapa hari kebelakangan ini. Iran pula berkata, ia telah menahan dua kapal kontena yang cuba keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz pada Rabu selepas menembak ke arah mereka dan sebuah kapal lain.

Menurut dua sumber perkapalan AS dan India serta dua sumber keselamatan maritim Barat, tentera AS telah mengalihkan sekurang-kurangnya tiga lagi kapal tangki minyak Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini, lapor Reuters.

Tentera AS tidak segera memberi respons terhadap permintaan komen mengenai pemintasan tersebut.

Salah sebuahnya ialah ialah kapal tangki Iran bernama Deep Sea yang separuh muatan minyak mentah dan kali terakhir dikesan di luar pantai Malaysia seminggu lalu.

Kapal tangki lebih kecil Sevin yang mampu membawa sehingga 1 juta tong minyak dan sedang membawa 65 peratus muatan juga dipintas. Kapal itu kali terakhir dikesan di luar pantai Malaysia sebulan lalu.

Kapal tangki Iran, Dorena yang membawa 2 juta tong minyak juga dipintas dan kali terakhir dikesan di selatan India tiga hari lalu.

Markas Pusat AS  berkata dalam hantaran di X bahawa Dorena sedang dikawal oleh kapal pemusnah Tentera Laut AS di Lautan Hindi selepas cuba melanggar sekatan.

Pasukan AS juga mungkin telah memintas kapal tangki Derya, menurut sumber perkapalan. Kapal itu gagal menghantar minyak ke India sebelum pengecualian AS terhadap pembelian minyak Iran tamat pada Ahad.

Markas pusat itu berkata, sejak sekatan bermula, pasukan AS telah mengarahkan 29 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN