TANAH MERAH: Senjata api raifal jenis M16 yang dirampas dalam serbuan di Kampung Maik, Gua Musang di sini pada Isnin lalu sudah dihantar ke unit forensik untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bertujuan mengenal pasti nombor siri pada senjata tersebut sama ada milik polis, angkatan tentera atau diseludup dari luar.
“Ini kes yang sangat jarang berlaku. Kita sedang buat siasatan forensik untuk kenal pasti nombor siri senjata tersebut, sama ada milik polis, tentera atau seludup dari luar.
“Di Malaysia, kita tidak lesenkan senjata automatik seperti M16 kepada orang awam, hanya ‘shotgun’ sahaja untuk lesen memburu,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, ketika ini pihaknya masih lagi memburu suspek utama yang merupakan warga tempatan bagi membantu siasatan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang suri rumah ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak.
Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 32 tahun itu sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Terdahulu, Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lima laras senjata api termasuk jenis M-16 selepas menahan seorang wanita dalam serbuan di Kampung Miak.
Wanita itu ditahan pada pukul 6.45 petang dalam Ops Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan negeri.-UTUSAN










