Ada jenama minta saya jadi natural isu Palestin - Naim Daniel

Ada jenama minta saya jadi natural isu Palestin – Naim Daniel

NAIM DANIEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 26, mendedahkan, ada beberapa jenama antarabangsa yang me­nunjukkan kegusaran terhadap kelantangannya menyuarakan isu Palestin di media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyanyi lagu Sumpah itu berkata, dia enggan bertoleransi dengan sebarang bentuk penganiayaan dan akan terus menggunakan platform media sosial untuk memberi kesedaran.

“Memang ada jenama yang menunjukkan kegusaran de­ngan kelantangan saya. Mereka minta saya untuk jadi natural terutama dalam isu melibatkan Israel dan Palestin.

“Namun, itu adalah platform media sosial saya. Sejak dahulu, memang saya akan secara terang-terangan menyuarakan isu-isu melibatkan penindasan dan penganiayaan,” katanya.

Bagaimanapun, Naim turut menghormati pendapat dan keputusan rakan-rakan selebriti yang tidak menyuarakan isu kemanusiaan Palestin di media sosial ke­rana masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk berjuang.

“Jika ada rakan seangkatan yang tidak menyuarakan pendapat mereka tentang isu ini, itu tidak salah dan tiada paksaan. Ia terpulang kepada cara masing-masing.

“Saya tahu ada rakan selebriti yang tidak banyak bersuara di media sosial namun memberi sokongan dengan cara yang lain.

“Namun ini cara saya. Kita tidak dapat memberi bantuan ketenteraan atau pergi ke sana untuk berjuang. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan memberikan sokongan serta bersolidariti,” tambahnya.

Di media sosial, Naim secara terbuka mengkritik kekejaman dilakukan pihak zionis yang melakukan pengeboman di beberapa buah hospital di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN