Pulau Pinang mohon diberi AP barangan asas elak krisis bekalan makanan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang mohon diberi AP barangan asas elak krisis bekalan makanan

FAHMI Zainol dan Zarina Zainuddin melepaskan anak benih ikan di sungai Kampung Jambatan Merdeka, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang memperincikan kertas kerja bagi permohonan Permit Import (AP) barangan keperluan asas untuk pertimbangan dan kelulusan oleh Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, ia susulan hasrat kerajaan negeri yang mahu menguruskan sendiri kawalan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak dan gula.

Katanya, permohonan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Sekiranya kita pegang AP sendiri, isu orang tengah yang mengakibatkan kekurangan beras ini sudah pastinya tidak akan berlaku.

“Jika stok atau bekalan beras, minyak masak atau gula kurang, kita boleh kawal kerana kerajaan negeri sendiri yang menguruskan AP.

“Kita semua sedia maklum, sebelum ini AP diberikan kepada syarikat swasta dan orang biasa, namun kini sudah tiba masanya Kerajaan Pusat serahkannya kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pelepasan Benih Serentak Seluruh Malaysia 2023 anjuran Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang di Kampung Jambatan Merdeka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti jentera dan kemudahan logistik yang dimiliki kerajaan negeri bagi memastikan permohonan terbabit berjalan lancar.

“Kita mahu mesin sendiri untuk bungkus serta pek bekalan beras dan keperluan asas lain.

“Selain itu, gudang turut diperlukan untuk menempatkan bekalan makanan asas terbabit khusus buat kegunaan penduduk negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zarina Zainuddin berkata, sebanyak 100,000 benih udang dilepaskan di perairan terbabit menerusi program hari ini.

“Kawasan ini dipilih susulan terdapat ramai nelayan yang mencari rezeki di sepanjang Sungai Muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya