BALIK PULAU : Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco, jabatan serta agensi kerajaan yang berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang akan diarah untuk mempertingkatkan pemantauan terhadap projek-projek pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia bertujuan memastikan bahawa setiap projek yang dilaksanakan atau masih belum dimulakan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Kon Yeow berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima hasil daripada program jelajah yang dilakukan selain laporan media sebelum ini, pelbagai unsur atau faktor didapati boleh mempengaruhi perjalanan dan pelaksanaan sesuatu projek tanpa disangka.
“Jadi, saya berharap agar semua Exco yang terlibat akan memimpin jabatan dan agensi di bawah mereka agar projek tersebut siap mengikut jadual dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Program Jelajah Ketua Menteri ke Pasar Awam Balik Pulau di sini. Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong serta beberapa pemimpin setempat yang lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, komitmen atau fokus utama kerajaan negeri selepas memasuki separuh kedua penggal pentadbiran ketika ini ialah mahu memastikan bahawa tidak ada lagi projek ‘sakit’ atau tertangguh di negeri ini.
“Dalam hal ini, rakyat sentiasa memantau perkembangan projek-projek kerajaan dan tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya berlaku kelewatan atau ada projek ‘sakit’,” ujar beliau.
Tambah Kon Yeow, beliau juga akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Exco akan datang sebagai peringatan kepada semua barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi pelaksana agar dapat mematuhi arahan berkenaan.-UTUSAN









