20 tan bantuan ke Gaza minggu depan

20 tan bantuan ke Gaza minggu depan

KKM bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan. - GAMBAR HIASAN/ AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan menghantar bantuan ubatan dan barangan keperluan sebanyak 20 tan untuk kegunaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza bermula 3 November depan.

Bantuan tersebut digerakkan Sekretariat Ops Ihsan hasil kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sehingga kini berjaya mengumpulkan kira-kira 50 tan barangan bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, penghantaran pertama sumbangan rakyat Malaysia berbentuk ubatan dan barangan keperluan sebanyak 20 tan dengan pesawat kargo melalui Pengkalan Udara Subang dijangka bermula pada 3 November setelah segala perancangan telah dimuktamadkan.

Menurutnya, Ops Ihsan terhasil melalui kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) dan agensi kerajaan sebagai inisiatif terkehadapan di dalam merangkumkan usaha NGO atas pendekatan solidariti bagi usaha bantuan kemanusiaan ke Palestin. 

“Ini adalah usaha yang amat baik dan dinanti-nantikan untuk semua NGO bekerjasama dan bergerak selari dengan hasrat kerajaan dalam aspek penyegeraan penyaluran bantuan kemanusiaan di mana-mana tempat, keadaan dan masa.

“Ops Ihsan ialah cetusan idea Kementerian Luar Negeri dengan NGO-NGO berjaya mengatur gerak pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza dalam tempoh kurang 48 jam iaitu pada Sabtu dan Ahad lepas. 

“Ia dikumpul di beberapa pusat pengumpulan di sekitar Lembah Klang sebelum dihantar ke Pusat Operasi Utama #OpsIhsan di Gudang MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) yang terletak di Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ops Ihsan ini juga adalah hasil kerjasama yang digerakkan oleh Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, MERCY Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor, dan BeVital sebagai koordinator utama dan mendapat sokongan dan kerjasama padu 38 buah badan bukan kerajaan yang lain. 

“Operasi dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas melihat penglibatan hampir 800 orang sukarelawan dari pelbagai lapisan rakyat Malaysia menyumbang kudrat dalam sama-sama membantu urusan penerimaan, pengasingan, pengumpulan data sehingga kepada penyusunan barangan di dalam kotak-kotak yang telah disediakan,” katanya.

Jismi yang juga merupakan Presiden MAHAR berkata, pengurusan barang-barang sumbangan yang diterima kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan berdasarkan keperluan utama. 

“Ia akan diterbangkan ke Al-Arish, Mesir melalui pesawat kargo sewaan khas dan dibiayai Kerajaan Malaysia. Barangan kemanusiaan ini dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

“Gerak kerja bagi penilaian keperluan barangan bantuan dan lojistik serta jaringan perhubungan dengan pihak-pihak yang berkaitan bagi memastikan penghantaran barangan ke Gaza mengikut tatacara yang betul dan prosedur oleh Kerajaan Mesir telah dilaksanakan oleh Datin Azura Ibrahim semasa penugasan beliau di Mesir baru-baru ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN