195 kanak-kanak mati akibat penjaga cuai - Siti Kamsiah

195 kanak-kanak mati akibat penjaga cuai – Siti Kamsiah

"KESALAHAN kecuaian sehingga mengakibatkan kematian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001." - Siti Kamsiah Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 195 kanak-kanak bawah 12 tahun meninggal dunia akibat kecuaian penjaga termasuk ibu bapa direkodkan polis dalam tempoh 2021 hingga September lalu

Kecuaian paling tinggi seperti anak jatuh katil, basikal, meja atau kerusi dengan semuanya merekodkan 121 kejadian. Antara punca kecuaian kerana ibu atau bapa, pengasuh dan penjaga mengalami stress, perubahan rutin harian, kurang tidur dan diganggu panggilan telefon.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, lebih kurang 42 peratus daripada 464 kes kecuaian direkodkan adalah menyebabkan kematian mangsa.

Menurut beliau, kebanyakan kes kematian akibat kecuaian itu pelakunya terdiri daripada ibu atau bapa kanak-kanak malang berkenaan dan pengasuh.

“Kesalahan kecuaian sehingga mengakibatkan kematian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mengikut seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya di sini hari ini.

Kata Siti Kamsiah, dalam tempoh sama sebanyak 19 daripada 464 kes kecuaian yang dilaporkan membabitkan kejadian anak-anak tertinggal dalam kenderaan, digilis kereta selain tersepit di tingkap kereta.

Kata beliau, berdasarkan kajian pihak polis dan pakar keselamatan kanak-kanak faktor utama kejadian seumpama iu berlaku adalah disebabkan kesilapan ibu bapa atau penjaga itu sendiri.

“Ada kes yang diterima kita (polis), ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu berkemungkinan terlupa bahawa anak mereka masih berada dalam kenderaan.

“Keadaan ini berlaku akibat perubahan pada rutin harian ibu bapa atau ada gangguan seperti panggilan telefon, teks atau kesibukan lain yang mengganggu perhatian ibu bapa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah berkata, keadaan kesesakan lalu lintas juga boleh mengganggu perhatian dan mempengaruhi kesedaran ibu bapa.

“Selain, faktor-faktor seperti stress atau kurang tidur boleh juga mengurangkan kesedaran dan daya ingatan ibu bapa seterusnya membahayakan keselamatan anak kerana suhu dalam kenderaan boleh meningkat secara drastik akibat cuaca panas,” ujarnya.

Siti Kamsiah turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar mengambil sentiasa periksa kenderaan sebelum meninggalkannya untuk memastikan tiada anak dalam kenderaan.

Kata beliau, mereka juga perlu memastikan anak-anak selamat keluar dari kenderaan sebelum menutup pintu dan jangan membiarkan anak merekbermain dalam kenderaan tanpa pengawasan.

“Berkomunikasi dengan anak-anak untuk memahami bahaya tinggal dalam kenderaan panas dan sejuk selain gunakan peringatan visual seperti meletakkan barang yang penting di sebelah tempat duduk anak-anak sebagai pengingat.

“Saling berkomunikasi dengan pasangan atau pengasuh untuk memastikan anak-anak selamat. Ketelitian dan kesedaran ibu bapa adalah penting untuk memastikan keselamatan anak-anak daripada risiko tertinggal dalam kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×