PETALING JAYA: Nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sohor kini di platform X (twitter) selepas beliau dilepas tanpa bebas (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Setakat pukul 6 petang, lebih 22,000 hantaran di laman tersebut membincangkan tentang keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Rata-rata pengguna memberikan reaksi berbeza berhubung keputusan itu terutamanya berkaitan tindakan pasukan pendakwaan yang memohon prosing perbicaraan berkenaan dihentikan.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Presiden UMNO itu.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi semua 47 pertuduhan.
Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.
Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu. – UTUSAN










