YDP Pas Kawasan Kangar mengaku tidak bersalah hina kuasa raja - Utusan Malaysia

YDP Pas Kawasan Kangar mengaku tidak bersalah hina kuasa raja

YUSSAINE Yahya (dua dari kanan) berjalan masuk ke kamar perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Kangar, Perlis bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan menganjurkan ceramah dengan menjemput pendakwah tidak memiliki tauliah daripada Jabatan Mufti negeri. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Yussaine Yahya,43, didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan menghina kuasa raja dan badan-badan agama Islam.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku salah sewaktu pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Mohamad Zaidi Abdullah dan memohon untuk dibicarakan.

Terdahulu, tertuduh tiba di Jabatan Kehakiman Syariah negeri sekitar pukul 8.30 pagi bersama kira-kira lebih 50 penyokong beliau.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie negeri, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh pula diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yussaine didakwa telah menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah, ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub yang tidak memiliki tauliah daripada Jabatan Mufti negeri pada 30 Mac lalu di Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam Al Nawawi (Matin), Kampung Abi Padang Machang, di sini.

Tindakan itu dianggap melanggar Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 dan bertentangan dengan titah rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghina kuasa Raja Pemerintah dan badan-badan agama Islam di bawah Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan menerusi hujahannya memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin bernilai RM2,500 dengan dua penjamin di mana salah seorang daripadanya merupakan penjawat awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dan membantah syarat penjamin tersebut yang dilihat tidak relevan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 18 Januari 2024 dan tertuduh juga dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudiannya membayar jumlah jaminan yang dikenakan tersebut.

Dalam kenyataan ringkasnya, Yussaine berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes itu untuk diadili dengan proses perundangan.

“Saya ingin menegaskan bahawa sebagai anak jati negeri Perlis yang dibesarkan dalam adat resam Melayu dan menjunjung serta menghormati institusi diraja, (saya) menafikan pertuduhan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya