Yang permai dalam album Johny Comes Lately - Utusan Malaysia

Yang permai dalam album Johny Comes Lately

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini, dari segi kuantiti, terbitan muzik independen Malaysia lebih meriah. Banyak album dan EP dihasilkan, malah dari segenap generasi. 

Cuma untuk dapat yang betul-betul memberi impak itu susah. Mungkin ada satu atau dua, itupun tidaklah terlalu besar impaknya. 

Sebab itu, selepas mengulang berkali-kali album DI SIMPANG TIGA oleh Johny Comes Lately (JCL), saya seronok. 

Akhirnya ada satu album yang besar impaknya, sekurang-kurangnya untuk saya. Saya fikir, album yang berimpak besar tidak boleh tiba-tiba terjadi. 

Di sebalik hal teknikal produksi di depan, lazimnya akan ada cerita yang panjang dan dalam di belakang. 

DI SIMPANG TIGA ada ‘cerita belakang’ itu, menjadikan asas album ini kuat. Ada kedalaman yang boleh mengalir perasaan berbeza kepada pendengar dan, mungkin, akan memanjangkan usianya.

BOLAK-BALIK HATI 

Sepanjang tiga tahun lalu, banyak yang dihadapi anggota JCL. Pada 2020, gitaris mereka, Aizat dijemput Ilahi. 

Pemergian Aizat yang mengejut menyentak banyak tanda tanya pada anggota yang lain. Ada masa, mereka melihat garis tamat pada perjalanan muzik mereka. 

Masa yang lain, ada hantu buntu yang datang mengganggu. Kemudian, Ebi pula didatangi ujian dalam bentuk pilihan. 

Dia ditawar bekerja jauh di tengah laut. Dalam lagu Di Simpang Tiga, Ebi mencatat: “Kupilih berlayar gajiku besar, Tarik sauh layar gelagat dunia, Lihat semua ciptaan Yang Esa. 

“Juga kudapat beli anak mainan, Kereta lumba yang dia suka, Ibu restu, isteri rela, Hijrah ke sana.” Tanpa JCL, mudah untuk Ebi buat pilihan. 

Namun, sambungnya: “Tapi sayang, mana datang, Kuat daya nak tinggal, Kelibat Wan, Aizat, Majan, Kilat saksofon Yien.” 

Kita boleh faham kenapa lagu Di Simpang Tiga diangkat menjadi tajuk album. Segala yang dicatat secara jujur dan terbuka dalam lirik lagu itu menjadi latar pembikinan album ini. 

DI SIMPANG TIGA lahir dari pergelutan yang dialami JCL sebagai sebuah unit. Ia secara tidak langsung merakam detik penting dalam perjalanan muzik kugiran itu yang akan dikenang suatu masa nanti.

BOLOS DINDING 

Tanpa cerita latar itu, DI SIMPANG TIGA masih sebuah album yang baik. JCL buat saya buka Google dan cari pelbagai maklumat bagi memahami muzik ska punk. 

Boleh dikatakan, tidak ada kugiran ska punk antarabangsa yang saya minat. Kalau ditanya, saya hanya boleh sebut No Doubt tapi hanya satu lagunya yang saya tahu. 

Saya kenal ska dari kugiran tempatan. Gerhana Ska Cinta dan Plague of Happiness yang paling utama. 

Cuma selama ini saya fikir, ada sempadan yang mengurung muzik ska atau lebih spesifik, ska punk. 

Banyak lagu-lagunya kedengaran sama. Itu jasa besar JCL melalui DI SIMPANG TIGA. 

Mereka buat saya pertimbangkan semula pendapat itu. JCL menunjukkan yang ska punk tak ada sempadan yang tak boleh dirempuh. 

Asasnya masih ada dalam setiap lagu – rentak ska, sikap punk dan lirik positif – tetapi horizon genre itu diperluas dengan jaya. 

Malah, gaya vokal Ebi dalam album ini buat ia lebih menarik. Ramai yang akan mempertikai penggunaan auto-tune tapi saya okay. Ada masa Ebi beri lenggok gaya Zamani; pelik tapi saya tertarik.

PERIBADI DAN MATANG 

Daripada 10 lagu dari album ini, tujuh layak menjadi single. Tiga lagi tidaklah teruk, malah memberikan warna yang menarik. 

Ini antara sebab saya fikir album ini bagus: lagu-lagu yang baik dihimpun tetapi tidak pula ia kedengaran seperti sebuah kompilasi. Cuma, kalau mengharapkan lagu-lagu dengan mesej keras seperti album pertama mereka, mungkin anda sedikit kecewa. 

Kerana DI SIMPANG TIGA menghimpun tema-tema lirik untuk ‘punk abah-abah’. Ia lebih peribadi, bercakap tentang perasaan dan perang dalaman manusia. 

Sesuai dengan kedudukan anggota-anggota teras JCL yang sudah semakin berumur dan matang. 

Asasnya, mereka hanya menjadi jujur. Kehidupan tidak lagi didominasi pemberontakan dan protes; mereka tulis apa yang mereka nak tulis pada usia ini. Berontaknya masih ada tetapi tidak sekeras dulu. 

Nyanyian pun dah tak banyak jerit-jerit seperti dulu. Akhirnya, DI SIMPANG TIGA merupakan antara album tempatan terbaik yang dihasilkan tahun ini. 

Ia wajib masuk dalam senarai beli anda. Saya luang masa hampir sejam menemu bual JCL tetapi segala maklumat yang saya dapat disepah-disepahkan sahaja dalam artikel ini. 

Tidak ada petikan langsung. Sebab album mereka menjadi teman saya menghadapi minggu yang sukar. 

Jadi saya mahu menulis sesuatu untuk mereka. Inilah dia, semuka surat penghargaan saya buat JCL. 

Bukan hanya kerana album mereka menemani saya, malah sikap mereka yang rendah diri, mesra dan hangat mengembalikan motivasi saya untuk terus menyokong lapangan muzik tempatan. 

Mereka tidak peduli pada gelaran “Raja Ska Punk Malaysia” yang diberikan Junklist. 

Mereka juga tak peduli kalau sampai ke sudah, tak ada penganjur mahu letak nama mereka sebagai headline festival. Mereka ajar saya erti cukup yang sebenar. 

Nikmati saja jalan yang sudah ditentukan Tuhan. Seperti yang disyarah Robert Frost tentang jalan yang tidak diambil: takdir untuk didamaikan dan pilihan untuk ditanggung serta dijawabkan. 

Kalau anda seperti saya, buntu mencari permai, cubalah dengar DI SIMPANG TIGA oleh JCL.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN