Sektor pertanian sumbang RM186.4 bilion kepada ekonomi negara

Sektor pertanian sumbang RM186.4 bilion kepada ekonomi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pertanian negara merekodkan nilai pengeluaran sebanyak RM186.4 bilion, sekali gus membuktikan peranannya sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dapatan itu merangkumi keseluruhan aktiviti pertanian melibatkan subsektor tanaman, ternakan dan perikanan di seluruh negara.

Katanya, nilai tersebut mencerminkan skala sebenar sektor pertanian yang bukan sahaja menyokong keselamatan makanan negara, malah menyediakan sumber pendapatan kepada lebih sejuta pengusaha pertanian di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu RM132.06 bilion (70.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan pendapatan diikuti subsektor ternakan
dengan RM33.12 bilion (17.8 peratus) dan perikanan tangkapan RM11.08 bilion.

“Tiga negeri teratas mencatatkan jumlah pendapatan adalah Johor dengan nilai RM30.15 bilion, Sarawak (RM29.18 bilion) dan Sabah (RM28.22 bilion).

Komponen pendapatan dalam Banci Pertanian 2024 merangkumi nilai jualan daripada aktiviti pertanian, aktiviti yang dijalankan untuk pihak lain, produk pertanian yang diproses serta pendapatan lain berkaitan aktiviti pertanian,” katanya ketika membentangkan Laporan Banci Pertanian 2024 semalam.

Dalam pada itu, kata Mohd. Uzir, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut membangunkan Gerbang Digital Statistik Pertanian (TaniStats 2.0) sebagai inisiatif transformasi pengurusan data pertanian negara.

“Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik dalam transformasi pengurusan data pertanian negara melalui pembangunan sebuah platform pintar bersepadu menggabungkan hasil banci, data pentadbiran dan maklumat rantaian bekalan.

“Melalui banci ini, statistik pertanian tersedia sehingga ke peringkat lokaliti terkecil menyediakan maklumat di peringkat granular yang membolehkan pelaksanaan intervensi yang lebih bersasar dan bersesuaian.

Data sehingga ke peringkat terperinci ini akan menyokong perancangan dan pembuatan keputusan yang lebih berkesan oleh pihak berkepentingan dan seterusnya menyumbang kepada pemerkasaan berterusan sektor pertanian negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini