HULU TERENGGANU: Demi 14 orang cucu, seorang warga emas sanggup membina taman mini dilengkapi pelbagai peralatan mainan termasuk lego di pekarangan rumahnya di Kampung Lekak, di sini.
Tuan Tudin Tuan Hadi, 67, membina taman berkenaan bagi memastikan cucu-cucunya mempunyai aktiviti yang menyeronokkan apabila berkunjung ke rumahnya.
Menurutnya, taman mini ini diberi nama ‘Laman Atuk’ berkonsepkan pameran model bandar itu mula dihasilkan bermula sekitar tahun 2021 lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebelum ini, saya hasilkan landskap taman dipenuhi pokok hiasan, pokok-pokok bunga sehinggalah tercetus idea untuk wujudkan pula ‘Laman Atuk’ ini buat cucu-cucu yang kini berusia dua hingga 13 tahun.
“Semuanya dilakukan seorang diri secara berperingkat kira-kira lima bulan. Keseluruhan landskap yang ada kini baharu sahaja ditambah baik kira-kira sebulan lalu selepas banyak yang musnah akibat banjir besar Februari tahun lepas.
“Saya belanja hampir RM1,000 termasuk bagi beli pasu bunga. Kebanyakannya barang diperoleh secara percuma kerana menggunakan barangan terbuang, alat mainan rosak selain cuma dibeli di kedai murah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tuan Tudin memberitahu, ‘Laman Atuk’ yang dibina seperti pameran taman mini model bandar yang unik itu juga menarik perhatian orang ramai.
Katanya lagi, elemen infrastruktur pembangunan bandar itu turut diberikan perhatian bagi menambah tarikan dengan mewujudkan sudut-sudut tertentu seperti kem tentera, lapangan terbang, zoo serta jalan raya.
Tambahnya, walaupun ada yang menganggap ia merupakan usaha yang sia-sia, namun, semua dilakukan memberikan kepuasan tersendiri apatah lagi isterinya, Roziah Puteh, 62, sentiasa memberi sokongan moral. -UTUSAN