SHAH ALAM: Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Selangor (APBNS) berhasrat menubuhkan Dewan Muda Selangor (DMS) sebagai platform bagi generasi belia melontarkan pandangan dan idea yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
APBNS dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu disokong Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi yang turut menyatakan komitmen bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Menurutnya, antara objektif utama penubuhan DMS adalah memberi peluang, ruang kepada golongan belia di Selangor untuk menyuarakan buah fikiran, idea di samping mengasah bakat, keyakinan mereka dalam pengucapan awam.
“Memberi gambaran, pendedahan yang jelas dan tepat kepada golongan belia tentang bagaimana Dewan Undangan Negeri Selangor dijalankan dan melahirkan lebih ramai anak muda yang berpotensi tinggi, matang, berfikiran terbuka, berfikiran kreatif dan kritis untuk membuat keputusan dan cakna akan hal ehwal semasa,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, dengan penubuhan DMS diyakini akan melahirkan 112 belia yang progresif dan mahir dalam pembikinan dasar atau polisi berkaitan dengan Dewan Negeri.
“Ia bakal menjadi platform untuk menyebarkan ‘kesedaran demokrasi’ secara efektif dan membina empayar kempimpinan yang bakal menjadi pelapis buat negeri ini di masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN










