ARAU: Sudah tiba masanya negara berbalik kepada pembangunan sektor pertanian selepas terlalu fokus kepada fasa perindustrian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Agroteknologi Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Rashidah Ruslan berkata, bidang pertanian sangat penting dalam menjamin keterjaminan makanan.
Katanya, pada masa akan datang, sektor itu dilihat lebih mencabar jika negara-negara pengeksport khususnya beras dari Vietnam dan India bertindak memberhentikan eksport secara mengejut.
Justeru, katanya, persediaan ke arah meningkatkan hasil makanan sendiri terutama beras perlu diberikan perhatian lebih serius oleh kerajaan.
“Sudah tiba masanya kita kena fokus kembali kepada pertanian untuk keterjaminan makanan dan termasuk boleh menyemak semula rancangan Buku Hijau dengan bagaimana pelaksanaan untuk fokus kepada pertanian khususnya penanaman padi bagi menjamin keterjaminan makanan pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, masa depan keterjaminan makanan negara khususnya membabitkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini mungkin terjejas jika keluasan kawasan tanah bendang terus susut sama ada untuk tujuan pembangunan atau sebagainya.
Di Perlis sahaja, kawasan tanaman padi menyusut sebanyak 2,385 hektar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dengan terdapat juga pesawah beralih kepada tanaman lain, pembinaan rumah persendirian atau inap desa selain digunakan untuk tujuan pembangunan.
Mengikut rekod pada 2022, Malaysia terpaksa mengimport sebanyak 1.11 juta tan metrik beras membabitkan dari negara seperti Vietnam, 37.2 peratus, Pakistan (36.99 peratus), Thailand (12.9 peratus) dan India 8.6 peratus atau sebanyak 95,263 tan metrik.
Dalam pada itu, Rashidah berkata, selepas lebih 40 tahun, Rancangan Buku Hijau yang diperkenalkan pada 1974 wajar disemak semula dengan aspek pertanian perlu kembali diberi lebih tumpuan untuk meningkatkan hasil sekali gus menjamin masa depan keterjaminan makanan negara.
Pada masa ini, Malaysia banyak bergantung kepada import makanan khususnya beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini di sebalik hasil pula masih rendah iaitu sekitar 1.7 juta tan metrik beras setahun yang direkodkan pada 2021.
Disebabkan itu, Malaysia perlu bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus setahun dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah sebanyak 2.4 juta tan metrik bagi tempoh itu.
Sebagai rekod, rancangan Buku Hijau diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein pada Disember 1974 dalam mengurangkan kadar inflasi menerusi peningkatan pendapatan rakyat menerusi penglibatan dalam bidang pertanian secara sambilan atau sepenuh masa.
Sebelum krisis semasa dunia melanda negara, kerajaan melaksanakan program Bumi Hijau sebagai satu daripada strategi di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan melibatkan peruntukan keseluruhan RM4 bilion bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga makanan stabil.
Tambah Rashidah, kerajaan juga perlu menggalakkan orang ramai supaya menyerap di dalam minda bahawa bidang pertanian boleh menjamin pendapatan.
Selain itu katanya, golongan muda khususnya perlu disemai minat menguasai teknologi dalam pertanian khususnya berkaitan teknologi dron, jentera bersesuai seperti jentanam selain perlu disiplin dengan amalan pertanian yang baik untuk tingkatkan hasil.
“Orang muda dan petani juga perlu menguasai ‘smart farming’ ini selain mula diperkenalkan teknologi satelit untuk pengawasan tanaman khususnya padi. Perkara-perkara berkaitan teknologi dalam pertanian ini juga perlu diberi fokus dalam membantu meningkatkan hasil.
“Di Jepun antaranya, selain teknologi, dalam kalangan petani juga mempunyai kilang pemprosesan sendiri untuk menjamin hasil dan kualiti tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, dalam usaha ke arah penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun tahun bagi meningkat hasil, beberapa perkara perlu diberikan keutamaan seperti sistem pengairan yang baik, varieti benih yang sesuai dan pematuhan jadual penanaman.
“Kajian juga perlu dilakukan khususnya berkaitan faktor cuaca memandang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini sekali gus boleh merencatkan jadual penanaman itu.
“Di Unimap sendiri dalam program kejuruteraan pertanian, kita juga melatih graduan dan belia dalam mendalami teknologi pertanian seterusnya melahirkan tenaga mahir dalam sektor berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, masalah-masalah berulang seperti isu benih, sistem pengairan dan beberapa lagi isu perlu diberikan tumpuan untuk meningkatkan hasil padi.
“Sewaktu musim menanam dan menuai padi, masalah sama sahaja berulang dan perkara-perkara asas seperti itu perlu diselesaikan terlebih dahulu jika kita ingin mendapatkan hasil yang baik sekali gus tidak perlu lagi bergantung kepada import beras,” katanya.










