Teruskan perjuangan Surina kekang jenayah sempadan - Utusan Malaysia

Teruskan perjuangan Surina kekang jenayah sempadan

SURINA Saad (kiri) yang bersara selepas 34 tahun di dalam pasukan PDRM bergambar bersama Aidi Ismail (tengah) dan Baderulhisham Baharudin (kanan) serta pengamal media negeri ini selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Datuk Surina Saad sebelum ini mencipta sejarah tersendiri sebagai Ketua Polis wanita pertama di Perlis yang mengetuai pasukan keselamatan berkenaan dan beliau dilihat cukup berjaya khususnya dalam mengekang jenayah rentas sempadan terutama berkaitan aktiviti penyeludupan.

Sepanjang empat tahun mengetuai pasukan polis di negeri ini, Surina telah membuktikan keupayaan beliau khususnya dalam mengekang aktiviti penyeludupan ketum termasuk penyalahgunaan daun berkenaan di Perlis dan ia dibuktikan dengan kes penyeludupan yang terus menunjukkan penurunan sehingga kini.

Meskipun tanggungjawab menjaga negeri yang terletak di sempadan negara Malaysia-Thailand seperti Perlis bukannya sesuatu yang mudah untuk digalas namun Surina berjaya mengalas tugasan tersebut dengan baik yang selepas ini akan diteruskan oleh Ketua Polis baharu.

Antara tindakan lain yang dilihat paling ikonik ialah dengan langkah pembersihan ketum di kawasan Felda dengan kira-kira 1,500 pokok ketum di tiga kawasan Felda negeri ini ditebang bagi memastikan penempatan peneroka di situ tidak ‘dicemari’ kontroversi tanaman ber­kenaan.

Tindakan tersebut dibuat mengikut Akta Tanah Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 dengan kerja­sama pengurusan Felda serta Pejabat Tanah dan Galian melibatkan kawasan Felda di negeri sekali gus turut membantu mengekang aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan daun berkenaan khususnya dalam kalangan penduduk di kawasan tanah rancangan itu.

Malah, beliau bersama pasukan kontijen polis Perlis juga berjaya menangani situasi Covid-19 dengan jayanya meskipun pertama kali berhadapan situasi berkenaan.

Surina juga berjaya mengekalkan keamanan dan keharmonian di Perlis dengan baik khusus dalam mengekang kegiatan jenayah.

Bermula Isnin depan yang juga merupakan tarikh lahirnya iaitu 25 September, Surina akan bersara wajib di usia 60 tahun selepas 34 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Surina memulakan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada Disember 1989 dan kemudiannya dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Beliau juga merupakan pegawai paling lama berkhidmat di cawangan khas PDRM sebelum mengetuai Polis negeri ini pada 2019.

SURINA Saad yang bersara selepas 34 tahun di dalam pasukan PDRM bergambar bersama pengamal media negeri ini selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Perlis hari ini.- UTUSAN

Dalam pada itu, Surina berkata, antara peristiwa tidak dapat dilupakan ialah membabitkan salah satu kes besar iaitu insiden tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar yang mengorbankan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita berjaya selesaikan kes berkenaan namun disebabkan ia berkaitan warga asing kita tidak dapat membawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Antara lain katanya, adalah sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020.

“Saya rasa ketika itu agak mencabar kerana kita perlu fahamkan masyarakat untuk terima keadaan semasa memandangkan negara tidak pernah berdepan pengalaman sewaktu PKP. Namun kita berjaya tangani dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Surina masih belum mempunyai perancangan selepas bersara dan akan menghabiskan masa bersama keluarga khususnya bagi menjaga ‘syurga’ hatinya iaitu bapa yang tidak sihat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya