KANGAR : Polis negeri tidak akan memberi muka kepada anggotanya yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral atau melanggar disiplin termasuk bersekongkol dengan penyeludup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri membuat pemantauan rapi bagi memastikan tiada anggotanya terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Kita ambil serius isu ini dan sama sekali tidak akan membiarkan ada anggota yang terlibat dengan jenayah dan masalah disiplin ini,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan, seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP) dikesan bersekongkol dengan beberapa penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pegawai berusia 39 tahun itu ditahan pada 24 Disember lalu oleh JIPS bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurutnya, ASP berkenaan dipercayai ‘memberi laluan’ mudah kepada penyeludup sejak beberapa tahun lalu sekali gus membolehkannya menerima habuan.
Pada 24 November lalu, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Baharuddin Ramli,54, terkorban manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari,39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9.
Susulan itu, 52 suspek termasuk warga Thailand ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 8 Disember lalu. – UTUSAN










