ARAU: Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad meluahkan rasa kecewa dengan tahap kesedaran orang ramai yang masih keluar masuk menggunakan lorong-lorong tikus khususnya di sempadan Kuala Sanglang di sini meskipun laluan tersebut sudah ditutup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Surina berkata, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh ketika ini seolah-olah tidak diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.
Dalam tinjauan di kawasan tersebut kelmarin, pihaknya mendapati begitu banyak motosikal keluar masuk seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
“Ketika saya berada di situ orang masih keluar masuk, bagaimana pula waktu pihak berkuasa tidak ada, berkemungkinan lagi banyak orang keluar masuk di situ.
“Kita bagi kelonggaran buka sedikit ruang bagi membolehkan mereka yang mempunyai urusan penting bukannya sesuka hati lalu-lalang di kawasan berkenaan.
“Secara jujur saya rasa sangat kecewa, ada dalam kalangan rakyat seolah-olah masih tidak ada kesedaran tujuan PKP dilaksanakan iaitu bagi memastikan masyarakat kekal di rumah seterusnya mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Baru-baru ini, polis mengambil langkah menutup lima lorong tikus dengan penghadang batu di sekitar kawasan sempadan Kuala Sanglang di sini.
Selain tiga lorong tikus yang sebelum ini telah ditutup di pekan Kuala Sanglang, polis juga menambah dua lagi lokasi iaitu Kampung Tok Mengkula dan Jalan Tok Mengkubah di kawasan tersebut selepas mendapati laluan itu cukup aktif melibatkan orang keluar masuk bagi mengelak melalui sekatan jalan raya di Kilometer 17, Simpang Empat.
Tambah Surina, masyarakat sudah tentu tidak mahu melihat PKP terpaksa dilaksanakan berkali-kali selepas penularan Covid-19 masih serius.
“Kita pun tidak mahu PKP diadakan berkali-kali, jadi saya berharap sangat agar masyarakat mempunyai kesedaran untuk kekal di rumah jika tidak ada urusan penting di luar,” katanya.
Dalam pada itu, Surina memberitahu, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka dan mendaftar masuk ke dalam premis menggunakan aplikasi MySejahtera. – UTUSAN ONLINE










