Baderulhisham pangku jawatan Ketua Polis Perlis - Utusan Malaysia

Baderulhisham pangku jawatan Ketua Polis Perlis

SURINA Saad (kiri) dan Baderulhisham Baharudin (kanan) menukar dokumen serah terima tugas dengan disaksikan Aidi Ismail dalam majlis di Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin memangku jawatan Ketua Polis negeri berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Surina Saad yang akan bersara wajib pada Isnin depan.

Majis penyerahan serah terima tu­gas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail.

Aidi berkata, beliau yakin dengan pengalaman dimiliki Baderulhisham mampu untuk meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan Surina bagi memelihara keselamatan penduduk di negeri ini.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Surina kerana berjaya membawa kepimpinan sebagai seorang wanita bagi memimpin polis Perlis hampir empat tahun.

“Beliau (Surina) berjaya mengekalkan keamanan dan keharmonian di Perlis dengan baik khusus dalam mengekang kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas itu di sini hari ini.

Surina memulakan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada Disember 1989 dan kemudiannya dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Beliau merupakan pegawai paling lama berkhidmat di cawangan khas PDRM dan menjadi Ketua Polis wanita pertama di Perlis.

Dalam pada itu, Surina berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di negeri ini, terdapat beberapa kes besar yang diuruskan olehnya antaranya seperti insiden tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar.

Selain itu, beliau berkata, antara tugasan lain yang mencabar perlu dihadapinya adalah sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada tahun 2020.

“Saya rasa ketika itu agak mencabar kerana kita perlu fahamkan masyarakat untuk terima keadaan semasa memandangkan negara tidak pernah berdepan pengalaman sewaktu PKP.

“Dan saya rasa kontijen Perlis berjaya menangani perkara itu memandangkan tidak banyak kes direkodkan membabitkan jangkitan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Baderulhisham berkata, beliau akan meneruskan legasi ditinggalkan Surina dan menambah baik beberapa aspek dalam memantapkan lagi pengurusan di IPK Perlis.

Tambahnya, kepimpinan Surina sebelum ini telah meletakkan satu landskap yang amat baik khususnya melibatkan aspek pencegahan jenayah, keselamatan komuniti dan sempadan di negeri ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM kerana memberi kepercayaan bagi memegang tugas besar ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya