KANGAR: Sebanyak empat guni putih dengan tulisan Thailand yang terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis di sini membawa kepada penemuan 123 ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM382,540, Rabu lalu.
Ketulan ganja dengan berat dianggarkan 123.4 kilogram itu ditemukan sekitar pukul 10.30 pagi menerusi rondaan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Taskforce Balai Polis Kuala Perlis, Unit Risik Marin Kedah/Perlis, Risik Kompeni D, Batalion 2, Kuala Perlis.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, menerusi pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan guni tersebut bersama 123 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
“Ganja itu dipercayai dibawa dari Thailand untuk diseludup ke negara ini. Menerusi pemantauan sekitar lokasi berkenaan mendapati tiada sebarang pergerakan kumpulan atau individu yang menghampiri barang kes tersebut,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Baderulhisham berkata, dianggarkan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 248,000 penagih dadah dan polis percaya dadah tersebut dibawa menggunakan jalan laut sebelum dipindahkan ke negara ini menggunakan jalan darat.
“Pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan sindiket ini untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










