KANGAR: Sebanyak 30 senjata api pelbagai jenis termasuk senapang tiruan dan buatan sendiri dianggar bernilai RM360,000 dirampas dalam beberapa siri serbuan oleh polis negeri sepanjang bulan ini.
Rampasan tersebut melibatkan lapan pucuk senjata api pelbagai jenis iaitu senapang serta pistol, 21 laras senjata airsoft, sepucuk senjata api buatan sendiri, ratusan butir peluru pelbagai kaliber, 9,000 kelongsong peluru selain pelbagai lagi komponen serta aksesori.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan pertama dilakukan pada 1 Julai lalu sekitar pukul 7.15 petang menerusi penahanan seorang lelaki warga tempatan di hadapan sebuah rumah di Taman Terus Maju, Setiawan, Perak yang membawa kepada rampasan tujuh laras senjata api airsoft, 52 butir peluru tabur dan beberapa lagi.
Katanya, susulan itu, bertindak atas maklumat siasatan, serbuan kedua dilakukan di sebuah kebun buah-buahan di Kampung Wang Pisang, Beseri, pada 5 Julai sekitar pukul 12.44 tengah malam, membawa kepada penahanan pasangan suami isteri warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan itu membawa kepada penemuan lapan laras senjata jenis airaoft, satu laras rifle .22, 25 butir peluru 7.65 milimiter (mm) dan beberapa lagi.
“Menerusi maklumat dengan dipandu arah oleh suspek tersebut, polis turut membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Wang Ulu, di sini, yang membawa kepada rampasan 98 butir peluru kaliber .22, 18 butir peluru 5.56mm dan 39 butir peluru 9mm,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Muhammad berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, polis turut melakukan serbuan ketiga di Jalan Miri, Kuala Perlis, pada 8 Julai sekitar pukul 11 pagi yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun.
Katanya, hasil siasatan membawa kepada serbuan keempat di rumah setor kepunyaan suspek di Taman Repoh, di sini dan menjumpai beberapa pucuk senjata api pelbagai jenis bersama peluru dan beberapa barangan lain.
“Polis turut membuat serbuan kelima dan keenam masing-masing di Taman Utara Jaya, Kuala Perlis dan Taman Saujana Indah, Lunas, Kedah, yang membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 42 tahun bersama rampasan senjata api, peluru serta peralatan senjata.
“Serbuan ketujuh dan kelapan pula dilaksanakan di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di sini dan Jalan Santan, Beseri yang membawa kepada rampasan beberapa senjata api pelbagai jenis dan penahanan beberapa individu lagi,” katanya.
Muhammad berkata, semua senjata api itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedarkan kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung Malaysia.
Katanya, sindiket berkenaan juga menggunakan beberapa lokasi berbeza sebagai tempat penyimpanan senjata dan peluru bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Semua suspek ditahan berusia lingkungan 40-an hingga 70-an dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta (Senjata Api Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta (Senjata Api Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.-UTUSAN










