JERANTUT: Selain masih tiada kediaman tetap, pasangan suami isteri, Mohamad Nor Ismail, 49, dan Nor Azlina Othman, 42, berdepan ujian serta cabaran dalam kehidupan apabila anak lelaki mereka, Mohammad Amsyar Mifzal yang berusia setahun sebulan disahkan menghidap jantung berlubang.
Pasangan itu yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua di sini sehingga kini menyewa sebuah rumah kakitangan Felda di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Nor berkata, upah sebagai pemandu lori sawit cuma RM1,200 sebulan, itupun ketika waktu boleh bekerja apabila buah sawit banyak untuk dihantar ke kilang dan ketika cuaca baik tidak hujan.
“Kadang-kadang hari hujan dalam tempoh lama kerja menghantar sawit dihentikan sementara termasuk lori rosak dan musim buah sawit melawas antara yang menjejaskan upah (pendapatan) saya,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.
Tambah Mohamad Nor, dia menyara lima anak yang masih bersekolah rendah dan menengah, manakala yang sulung masih belajar di politeknik melibatkan keseluruhan perbelanjaan bulanan keluarga RM3,000 termasuk bil, sewa rumah dan barang keperluan dapur.
“Kami masih tidak mempunyai rumah sebagai kediaman tetap yang cuma tinggal di rumah milik Felda di sini dengan kadar sewa RM120 sebulan dan pendapatan yang diperoleh sebagai pemandu lori mana mampu untuk membeli sebuah rumah jauh sekali untuk berbelanja peralatan binaan di samping tiada mempunyai tapak atau tanah,” katanya.
Dia berkata, ujian yang mula ditempuh bersama isterinya, iaitu anak bongsunya, Mohammad Amsyar Mifzal sudah disahkan menghidapi jantung berlubang ketika berusia empat bulan dan menunggu masa untuk pembedahan.
Sementara itu, Nor Azlina tidak dapat bekerja lantaran perlu menjaga kebajikan anaknya yang sakit dan kerap mengalami kesukaran bernafas, cepat letih dan lemah anggota badan.
“Apabila melihat perubahan anak ini selepas dilahirkan mengalami keadaan tersebut di tambah pula kerap menangis, saya terus membawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk rawatan dan doktor berkenaan mengesahkan Mohammad Amsyar Mifzal mengalami jantung berlubang.
“Doktor meminta saya merujuk pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan keputusan yang sama juga diperoleh,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Azlina di talian 0105817223 atau menyalurkan bantuan ke akaun Agro Bank bernombor 2006311000052393. – UTUSAN










