Tambang baharu feri kuat kuasa hari ini - Utusan Malaysia

Tambang baharu feri kuat kuasa hari ini

SELEPAS sebulan beroperasi secara percuma, pengguna feri baharu Pulau Pinang akan dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan RM2 bagi dewasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kadar baharu tambang untuk perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berkuat kuasa hari ini akan bermula pada harga se­rendah RM1.

Jurucakap Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) selaku syarikat pe­ngendali perkhidmatan tersebut berkata, tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah.

Katanya, untuk penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas pula, tambang sebanyak RM2 akan dikenakan terhadap mereka.

“Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal pula perlu membayar tambang sebanyak RM2.50,” kata­nya di sini semalam.

Menurut beliau, tambang feri baharu itu mencerminkan komitmen dan usaha PPSB ke arah penambahbaikan berterusan untuk semua penumpang di samping menyokong peningkatan kemudahan perkhidmatan feri.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perjalanan yang selamat, mudah serta menye­ronokkan untuk semua orang dan perubahan ini memainkan peranan penting dalam mencapai objektif tersebut,” kata jurucakap tersebut.

Dalam pada itu katanya, selain mengenakan tambang feri, PPSB juga akan memper­kenal pas bulanan pada masa depan yang menawarkan diskaun kepada pengguna feri.

“Inisiatif ini secara tidak langsung bertujuan memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna setia kami,” katanya.

Terdahulu orang ramai diberi peluang merasai sendiri perkhidmatan feri baharu yang beroperasi di dua buah terminal secara ulang-alik iaitu di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) itu secara percuma selama sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN