PETALING JAYA: Kru kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 diarahkan berkumpul di dek atas selepas objek mencurigakan berlegar sekitar kapal yang sedang melalui Perairan Mediterranean berhampiran Greece.
Menurut wartawan, Serieffa Mushtafa Albakry, situasi tersebut berlaku selepas kru menerima amaran awal daripada kapten kapal berhubung kemungkinan berlakunya pintasan di perairan berkenaan.
“Ketika ini adalah sekitar pukul 10.10 malam waktu tempatan. Dalam setengah jam sebentar tadi, kami diberi amaran, diarahkan oleh kapten kapal untuk keluar daripada bilik masing-masing untuk ke dek atas kerana ada amaran pintasan.
“Apa yang dimaklumkan adalah ada jet ski tak dikenali melakukan beberapa pusingan berhampiran kapal kami dan ada dron yang memerhati kami.
“Kami semua diarahkan memakai jaket keselamatan, keluar dari dek kapal dan kekal tenang sehingga kapten kapal melakukan panggilan kecemasan,” katanya menerusi hantaran video di aplikasi TikTok hari ini. – UTUSAN








