KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan didakwa mengaut keuntungan mencecah RM60 juta dipercayai hasil daripada penipuan pelaburan hartanah dengan memperdaya hampir 1,500 mangsa di seluruh negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebanyak 80 aduan dibuat daripada mangsa terbabit ekoran penipuan itu.
Dakwanya, syarikat berkenaan menjerat mangsa dengan tawaran pelaburan skim sublet melibatkan hartanah dan mendakwa terlibat dengan pelbagai projek pembangunan serta pertanian di seluruh negara dengan kerjasama syarikat tersohor.
Beliau berkata, syarikat itu menjanjikan pulangan tetap RM540 dalam tempoh 45 hari bagi setiap pelaburan yang ditawarkan pada kadar RM3,600 bagi satu lot pelaburan.
“Saya sendiri berjumpa dengan bekas pengarah syarikat berkenaan, saya minta pada dia tunjuk bukti mengatakan mereka ada perjanjian kerjasama dengan syarikat terbabit.
“Dia kata tak ada, macam ini saya pun boleh kata KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) itu saya punya tetapi kena tunjuk bukti, takkan cakap kosong sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama bekas Ketua Polis Negara yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hasan serta beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Hishamuddin berkata, berdasarkan undang-undang syarikat tidak boleh memberi pulangan ke atas modal, hanya boleh mengeluarkan dividen kepada pelabur daripada keuntungan bersih.
Katanya, tindakan syarikat pelaburan berkenaan yang menjanjikan pulangan dalam jumlah dan tempoh yang singkat dan secara tetap semestinya menimbulkan keraguan.
“Syarikat ini mengaku sedang bekerja sama dengan syarikat pemaju tersohor, kononnya di Langkawi, Kedah mereka merupakan orang kedua paling banyak bangunkan hartanah di sana,” katanya.
Dalam pada itu, dakwa Datuk Hishamuddin, syarikat itu mengaku kononnya terlibat projek pertanian nangka manis dan durian musang king.
“Dia memang juara, semua projek dia buat,” katanya. – UTUSAN









