Sungai Batu Pahat berpotensi dibangunkan semula sebagai tarikan pelancong - Utusan Malaysia

Sungai Batu Pahat berpotensi dibangunkan semula sebagai tarikan pelancong

WAN Badariah Wan Saad (dua dari kiri) dan Mohd Shukri Ramli (kanan) meninjau kawasan sekitar Country Road Homestay sempena majlis pembukaan inap desa berkenaan di Simpang Empat, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan Sungai Batu Pahat yang dulunya sinonim sebagai lokasi tarikan boleh dibangunkan semula menjadi salah satu produk pelancongan khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP2024/2025).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, selain itu, terdapat beberapa program juga akan diatur di kawasan itu antaranya seperti pesta kucing dalam menarik kehadiran orang ramai selepas ini.

Beliau berkata, Rumah Penginapan Semarak yang terbengkalai di kawasan berkenaan juga akan dirobohkan berikutan kos baik pulihnya menelan belanja besar.

“Kerajaan negeri akan melakukan projek pembangunan di tapak Rumah Penginapan Semarak itu.

“Sungai Batu Pahat ini sememangnya berpotensi untuk dibangunkan semula memandangkan terdapat beberapa lokasi tarikan lain seperti Taman Ular, Taman Anggur dan lokasi riadah Bukit Ayer,” katanya selepas Majlis Pembukaan Country Road Homestay, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri sememangnya amat menggalakkan penglibatan komuniti yang berminat dalam bersama-sama membangunkan kawasan Sungai Batu Pahat sebagai lokasi tarikan pelancong.

Katanya, komuniti yang berminat boleh menghantar kertas cadangan kepada kerajaan negeri atau Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) berhubung sebarang program dan pelaksanaan yang ingin dilakukan di sana.

“Kerajaan negeri sememangnya terbuka dan kita menerima sebarang penglibatan komuniti dalam bersama-sama membangunkan Sungai Batu Pahat ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan diterima sewaktu penganjuran Matta Fair di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 1-3 September lalu, Wan Badariah berkata, ramai di antara pengunjung sememangnya teruja bagi mengetahui mengenai keunikan terdapat di Perlis.

Katanya, pada penganjuran Matta Fair kali ini, sebanyak dua syarikat pelancongan turut sama mengikuti program itu.

“Bulan Mac tahun hadapan akan ada lagi penganjuran Matta Fair ini dan kerajaan negeri berharap lebih ramai syarikat pelancongan akan masuk bersama bagi mempromosikan Perlis bersempena TMP2024/2025,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya