Menara MBKT mercu tanda baharu Kuala Terengganu

Menara MBKT mercu tanda baharu Kuala Terengganu

SULTAN Mizan Zainal Abidin (kiri) berkenan melawat ruang pameran selepas Perasmian Menara MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu di Menara MBKT, Kuala Terengganu. hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang merupakan mercu tanda baharu bandar ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta pimpinan tertinggi negeri yang lain.

Baginda melawat pameran Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Sultan Terengganu seterusnya menandatangani plak perasmian menara MBKT.

Pameran itu adalah terbuka kepada orang ramai yang mempamerkan barang-barang bersejarah dan berlangsung selama sebulan, bermula hari ini hingga 20 Okt depan di Galeri Aras Bawah, Menara MBKT. 

Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, bangunan kompleks pentadbiran MBKT mempunyai 30 tingkat dan merupakan bangunan yang tertinggi di negeri Terengganu.

Menurutnya, Menara tersebut yang menelan kos hampir RM200 juta itu telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 4 Julai 2022 serta memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 14 November 2022.

 “Bangunan ini dibina di atas tapak seluas 2.2 hektar dengan keluasan 66,377 meter persegi yang mampu menempatkan hampir 1,000 kakitangan MBKT serta dilengkapi kemudahan fasiliti sokongan,” katanya.

Ahmad Samsuri menambah, pembinaan kompleks baharu itu diharap dapat memberi manfaat yang besar kepada warga MBKT dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat.

Menara MBKT yang terletak bersebelahan Jambatan Angkat Kuala Terengganu di muara Sungai Terengganu akan menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya