KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan program subsidi bersasar dapat dilaksana sepenuhnya pada tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu memerlukan pendekatan yang sesuai dengan masanya.
Disebabkan itu, katanya, kerajaan perlu menekankan terlebih dahulu kepada Sistem Pangkalan Data (PADU) bagi mengenal pasti maklumat rumah yang berada sepenuhnya di dalam sistem itu, berbanding mengenal pasti bagaimana pelaksanaannya.
Oleh itu, beliau berkata, PADU akan melalui tempoh percubaan bermula November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.
“Yang penting ialah kita ada satu pangkalan data menyeluruh yang boleh memastikan kita mengurangkan risiko keciciran. Selepas PADU diuji dan disahkan, dengan kita mencapai sasaran maklumat isi rumah sudah berada sepenuhnya di dalam sistem, maka ini akan membolehkan kerajaan membuat keputusan bila hendak mulakan subsidi bersasar.
“Keutamaan kerajaan sekarang ialah maklumat sosioekonomi isi rumah kena lengkap dalam PADU. Ini lebih penting berbanding guna kad pengenalan, pindahan (kredit) terus ke akaun atau mahu pakai pam,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian selepas selesai pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Pada 15 Mei lalu, Anwar menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.
Sementara itu, mengulas mengenai tambahan peruntukan RM15 bilion diumumkan dalam KSP RMK12, kata Rafizi, ini bagi membolehkan kerajaan berbelanja lebih bagi membaik pulih dan meningkatkan kemudahan infrastruktur rakyat.
Katanya, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM415 bilion yang telah dipersetujui mengambil kira jangkaan sasaran defisit kekal 3.5 peratus menjelang 2025.
“Bila kerajaan semak semula, semasa RMK12 dibangunkan pada 2020-2021, memang hadnya diletakkan RM400 bilion. Namun, kerajaan mengambil kira banyak perkara yang mengesani rakyat yang tidak termasuk dalam RM400 bilion sebelum ini.
“Contohnya, tumpuan perdana menteri untuk memastikan tiada sekolah daif, jalan-jalan dibaiki dengan baik dan klinik daif. Jadi, sudah tentu memerlukan peruntukan tambahan,” katanya. – UTUSAN










