WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa beliau merancang satu serangan besar baharu terhadap Iran pada Selasa, namun menangguhkannya apabila melihat harapan untuk mencapai perjanjian yang selama ini sukar dicapai bagi menamatkan perang.
Trump berkata, beliau turut menghentikan rancangan serangan itu atas desakan sekutu-sekutu Arab yang telah diancam Iran dengan serangan balas jika AS dan Israel menamatkan gencatan senjata hampir enam minggu itu.
Presiden AS itu telah melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had dan menjelaskan bahawa beliau mahu keluar daripada perang yang menjadi liabiliti politik. Trump berkata, beliau telah menyediakan serangan baharu pada Selasa selepas Iran menolak garis besar perjanjian yang dicadangkannya.
Pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memintanya menangguhkan serangan ketenteraan yang dirancang terhadap Iran, ang dijadualkan hari ini kerana rundingan serius sedang berlangsung, tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Namun, Trump menambah bahawa beliau telah mengarahkan tentera AS supaya bersedia melancarkan serangan penuh berskala besar pada bila-bila masa jika perjanjian yang boleh diterima gagal dicapai.
Perang Iran bermula pada 28 Februari lalu selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas negara tersebut sebelum Trump mengumumkan gencatan senjata pada 7 April lalu.
Bercakap kemudian dalam satu acara di Rumah Putih, Trump berkata, terdapat perkembangan sangat positif dan sekutu-sekutu Arab memberitahunya satu perjanjian hampir dicapai yang akan memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan Teheran sedang usahakan.
“Ada peluang yang sangat baik untuk mereka mencapai sesuatu. Jika kita boleh melakukannya tanpa mengebom mereka habis-habisan, saya amat gembira,” kata Trump.
Iran berulang kali menolak tawaran Trump dan telah mengukuhkan kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan perairan penting menuju Teluk, menyebabkan harga minyak dunia melonjak. – AFP/AGENSI










