PUTRAJAYA: Pelakon dan usahawan, Datuk Adi Putra mendedahkan pernah ditawarkan wang sogokan mencecah RM10 juta susulan pengaruh serta kedudukannya sebagai anak seni.
Adi atau lMohamed Hadi Putera Halim, 46, berkata, pihak berkenaan dipercayai cuba melobi dan memujuknya supaya menyokong agenda tertentu.
Bagaimanapun, Adi enggan memperincikan perkara tersebut, namun memberi bayangan ia melibatkan isu besar dan bukan berkaitan industri lakonan.
“RM10 juta, RM20 juta pun ada. Sama juga seperti filem Konspirasi, wang dihantar dari luar negara dalam jumlah besar.
“Tidak logik pada zaman sekarang kalau sekadar beri RM100. Saya percaya perkara seperti itu sudah menjadi lumrah,” katanya.
Adi ditemui pada malam gala filem Konspirasi di IOI City Mall, malam tadi.
Dalam pada itu, pelakon filem Mat Kilau itu menegaskan dirinya tetap berpegang kepada prinsip bahawa wang daripada sumber tidak halal tidak akan membawa keberkatan.
“Saya bercakap terus terang kerana inilah realiti yang berlaku pada zaman sekarang. Banyak perkara berlaku di luar sana dan saya bukan mahu ‘spin’ cerita.
“Mungkin saya perlu lebih berhati-hati supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak, namun di media sosial ramai ‘keyboard warrior’ tidak memikirkan perasaan orang lain.
“Bagi saya, duit hanyalah angka. Walau sebanyak mana sekalipun, ia mudah datang dan pergi.
“Namun, apa yang lebih penting ialah nilai serta legasi yang mahu ditinggalkan kepada waris dan keluarga,” katanya. – UTUSAN










